Friday, March 21, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mantan guru SRDM adakan pertemuan semula

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Sekolah Rendah Dato Marsal (SRDM) untuk kali pertama telah mengadakan pertemuan semula mini bagi bekas guru-guru sekolah berkenaan yang diadakan di Restoran Infusion pada 15 Julai lalu.

    Majlis itu diadakan bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-77 tahun bagi memperingati dua acara dalam satu masa.

    Objektif pertemuan itu adalah bagi mengeratkan silaturahim dan memperluaskan lagi jaringan dalam kalangan bekas warga guru-guru sekolah berkenaan dan mengeratkan hubungan persahabatan yang telah terpisah lebih kurang 32 tahun.

    Hadir selaku tetamu khas pada majlis berkenaan ialah mantan Guru Besar, Haji Sikun bin Rayon.

    Acara tersebut dimulakan dengan sesi bergambar ramai dan diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Haji Abdul Halim bin Abdullah yang antara lain menyatakan mengenai sejarah dan sedikit imbasan kenangan di SRDM. Selepas itu acara diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran untuk Haji Sikun dan Awang Ali bin Haji Naim berserta isteri, Hajah Mariam binti Jaafar yang telah selesai menyempurnakan ibadah haji.

    Turut diadakan juga adalah bacaan doa bagi 16 orang guru yang telah kembali ke rahmatullah.

    Jawatankuasa ad-hoc telah berhasil mengumpulkan seramai 30 orang warga guru untuk majlis berkenaan itu dan Insya-Allah acara ke-2 akan diadakan pada masa akan datang.

    Antara bekas guru SRDM bergambar ramai semasa majlis pertemuan semula pada 15 Julai lalu.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda