Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Menjelang bulan Ramadan sudah menjadi tradisi masyarakat Brunei saban tahun mengungkayahkan majlis bertahlil dan membaca Doa Arwah.
Sehubungan itu, mantan dan warga Penerangan menerusi Jawatankuasa Ad-Hoc Mantan Penerangan telah mengadakan Majlis Membaca Yasin, Tahlil dan Doa Arwah bagi mantan Penerangan yang telah kembali ke rahmatullah yang diadakan di sebuah restoran, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman. Beliau merupakan mantan Pengarah Penerangan dari tahun 1979 hingga 1985.
Majlis turut dihadiri oleh lebih 40 orang mantan Penerangan dan keluarga masing-masing.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Acara disusuli dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil yang dipimpin oleh Haji Abdul Rahman bin Mat Yassin, yang seterusnya membaca Doa Tahlil.
Menurut setiausaha jawatankuasa penganjur, Haji Ja’afar bin Haji Ibrahim, majlis itu merupakan kali ketiga ia diungkayahkan setelah diadakan sebelumnya iaitu pada tahun 2021 dan 2023.
Beliau berkata, majlis yang dianjurkan sempena bulan Ramadan itu juga bertujuan bagi mengeratkan lagi silaturahim, memperkukuhkan ikatan persahabatan serta meningkatkan hubungan kerjasama kalangan mantan Penerangan.
“Majlis ini juga sebagai jambatan, titian dan platform yang amat berguna bagi mantan Penerangan untuk berinteraksi secara bersemuka, bertukar-tukar idea dan pandangan mengenai isu-isu bernegara,” jelas beliau.