Oleh Sim Y. H. & Siti Nur Wasimah S.
Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Semangat perpaduan antara segenap lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam terus menyerlah, menceriakan dan memeriahkan lagi suasana sekitar Bandar Seri Begawan apabila ribuan peminat dan penggemar sukan berbasikal berkumpul dari awal pagi lagi untuk sama-sama memanifestasikan rasa cinta kepada raja dan negara dengan menyertai Acara Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2018.
Walaupun cuaca hujan pada awal pagi, namun ia tidak mematahkan semangat para peserta untuk sama-sama menyertai acara yang menggabungkan aspek gaya hidup sihat dan rekreasi dengan hasrat untuk membentuk budaya sukan dan memantapkan perpaduan menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh ke arah mewujudkan warga negara sihat.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyertai acara berkenaan yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di sini.
– (Ikuti berita lanjut dalam Media Permata)