Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Seramai 12 orang peserta telah bertanding dalam peringkat akhir Pertandingan Azan dan Iqamat Senegara bagi tahun 2017 yang berlangsung di Masjid Kampung Bunut, kelmarin.
Dalam pertandingan itu, Kategori A iaitu bagi peserta berumur 45 tahun ke atas telah dijuarai oleh Awang Mahmud bin Abu Bakar dari Masjid Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan diikuti oleh Haji Zulkifli bin Haji Abdullah dari Masjid Kampung Penanjong, Tutong di tempat kedua dan Haji Mohammad bin Haji Daud dari Masjid Kampung Bunut di tempat ketiga.
Juara Kategori B, bagi 18 hingga 44 tahun, pula disandang oleh Awang Muhammad Norhamizan bin Haji Yaakub dari Masjid Kampung Menengah, Tutong, manakala itu tempat kedua dimenangi oleh Awang Abdul Muiz bin Misli dari Masjid Kampung Bunut dan Awang Muhammad Yusrun bin Haji Johari dari Masjid Kampung Mentiri di tempat ketiga.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari yang juga Ketua Kampung Limau Manis.


Pertandingan berkenaan dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Takmir/Muslimah Masjid Kampung Bunut, Majlis Perundingan Kampung Bunut Perpindahan, Majlis Perundingan Kampung Tasek Meradun-Bunut, Majlis Perundingan Kampung Madewa-Telanai, Ikatan Persatuan Belia Bunut juga dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Ia merupakan salah satu pengisian aktiviti Masjid Kampung Bunut bagi mendekatkan masyarakat dengan aktiviti berbentuk keagamaan, sekali gus mendedahkan mereka terutama belia-belia agar sentiasa menaruh minat untuk melaungkan azan dan iqamat pada bila-bila masa.