Oleh Yusrin Junaidi
TUTONG, 29 Mac – Kelab Fikrah, Fakulti Usuluddin, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dan Masjid Kampung Bukit, Tutong telah mengendalikan Program Perkhemahan ‘Ukhuwah Islamiyyah’ bertempat di Masjid Kampung Bukit, Tutong bermula semalam.
Hadir merasmikan program yang diadakan di Masjid Kampung Bukit berkenaan ialah Dekan Fakulti Usuluddin KUPU SB, Dr Mikdar Rusdi.
Turut hadir ialah para pensyarah dan pelajar-pelajar KUPU SB, belia dan Muslimah Masjid Kampung Bukit.
Program dua hari itu diisi dengan ceramah dan tazkirah berkaitan dengan kemantapan akidah, sahsiah Muslim dan kepentingan ukhuwah, klinik bimbingan amali, taharah dan solat, bengkel azan dan tausyeh, dakwah ke rumah-rumah yang telah ditentukan serta khidmat masyarakat.
Dengan tema ‘Ukhuwah Penjana Negara Zikir’, program antara lain merupakan usaha untuk memperkenalkan KUPU SB ke mata masyarakat selain memberikan pendedahan dan pengalaman kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk berdepan dengan masyarakat serta menanaikan konsep Amar Makruf Nahi Mungkar serta sikap tolong-menolong ke arah kebajikan dan ketakwaan.
Program perkhemahan tersebut telah dianjurkan sejak 2011 dengan berkonsepkan 3 ‘S’ iaitu syiar, salam dan silaturahim untuk menanai tanggungjawab sebagai individu Muslim bagi mengeratkan ukhuwah Islamiah bersama penduduk kampung.
