Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC- Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK40), Belia Mualaf As-Syahadah menerusi kerjasama Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Urus Setia Program Keugamaan Belia dan Bahagian Pengembangan Dakwah (Dakwah Khas) dengan sokongan Jabatan Hal Ehwal Masjid serta Masjid Omar ‘Ali Saifuddien pagi tadi mengadakan Masjid Tour bertempat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Acara dimulakan dengan perasmian Masjid Tour dengan menandatangani papan tanda oleh tetamu kehormat majlis, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.
Acara diteruskan dengan lawatan ke ruang utama solat, tempat berwuduk, sekitar kawasan masjid serta bahtera dan ke petak-petak aktiviti yang disediakan. Jurupandu bagi Masjid Tour ini terdiri daripada ahli-ahli Belia Mualaf As-Syahadah, Badan Sukarelawan Belia Da’ie dan tenaga pengajar serta peserta dari Bengkel Kesedaran melalui Masjid Tour.
Program Masjid Tour adalah berunsurkan program muhibah kepada para pelancong terutamanya pelancong bukan Muslim. Program ini adalah salah satu metodologi dakwah dan produk pelancongan di Negara Brunei Darussalam.
Beberapa buah masjid yang dikenal pasti berpotensi menjadi tempat tarikan pelancong Muslim dan bukan Muslim dari dalam dan luar negara, antaranya Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Jame’ Asr Hassanil Bolkiah.
Antara objektif program ini adalah untuk memantapkan dakwah serta menzahirkan corak kehidupan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam terutama kepada golongan masyarakat bukan Muslim.
Di samping itu, ia juga bertujuan memberikan peluang kepada mereka yang berkunjung untuk melihat keindahan seni bina masjid secara dekat serta mengetahui sejarahnya serta menyuntik semangat para belia supaya berani tampil bagi menyampaikan maklumat mengenai masjid secara menarik dan tepat.