Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mantapkan integrasi ASEAN

    Gambar Infofoto

     

    SINGAPURA, 27 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyeru negara-negara anggota ASEAN untuk terus mengukuhkan kerjasama masing-masing, yang mana ASEAN perlu mengenal pasti cara-cara yang dapat membawa faedah kepada rakyat masing-masing dan lebih bererti kepada Komuniti ASEAN.

    Semasa berkenan mengurniakan titah pada Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN ke-32 di Dewan Bankuet, Istana Republik Singapura, malam ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia melahirkan kepercayaan terhadap negara-negara anggota ASEAN dalam menjadikan perjalanan intra-ASEAN akan lebih mudah bagi para pelancong dan ahli perniagaan.

    Untuk melengkapkan perkara tersebut, titah Baginda, ia mungkin tepat pada masanya untuk meneroka cara-cara yang lain bagi memastikan integrasi serantau yang lancar seperti perhubungan.

    Baginda menambah, perkara ini akan dapat menyumbangkan kepada matlamat utama negara-negara anggota ASEAN dalam menggandakan perdagangan intra-ASEAN menjelang tahun 2025.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah, usaha-usaha sedemikian dapat memastikan kesediaan rakyat masing-masing dalam menyesuaikan diri kepada kemajuan teknologi.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN ke-32 di Dewan Bankuet, Istana Republik Singapura.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat bersama ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN bagi menghadiri Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN ke-32 di Dewan Bankuet, Istana Republik Singapura.
    Baginda Sultan dialu-alukan oleh Perdana Menteri Republik Singapura, TYT Lee Hsien Loong ketika berkenan berangkat ke Majlis Santap Malam.

    Baginda kemudiannya menekankan keperluan bagi negara-negara anggota ASEAN untuk lebih bersedia dalam menyediakan peluang-peluang dan cabaran-cabaran yang akan memberi kesan kepada kesemua tunggak Komuniti ASEAN.

    Peluang-peluang tersebut termasuk perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, penambahbaikan terhadap keupayaan penguatkuasaan undang-undang, akses yang lebih meluas terhadap maklumat dan kemajuan bandar- bandar di masa akan datang.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menyentuh mengenai potensi penggunaan teknologi dalam menjejaskan keselamatan, penyalahgunaan data peribadi malah berita-berita palsu yang merupakan antara cabaran-cabaran yang bakal dihadapi.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan bahawa perkembangan sedemikian memerlukan respons yang selaras dan kukuh dan seterusnya menyeru Sekretariat ASEAN untuk mengkaji dan menyediakan cadangan-cadangan mengenai implikasi Revolusi Perindustrian Keempat ke atas semua tonggak kerjasama ASEAN.

    Terdahulu, di awal titah, Baginda Sultan telah melahirkan keyakinan bahawa negara-negara anggota ASEAN akan terus menjadi rantau yang aman damai dan makmur di bawah kepimpinan Singapura sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, seperti yang telah dibuat oleh negara-negara ASEAN dalam tempoh 50 tahun ini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga memuji tema sidang kemuncak ‘Resilience and Innovation’ tersebut dan seterusnya menyuarakan sokongan terhadap hasil dokumen-dokumen yang telah dicadangkan.

    Dalam mengakhiri titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengalu-alukan hasil-hasil positif daripada Sidang Kemuncak Inter-Korea, termasuk pengisytiharan bagi menamatkan peperangan di Semenanjung Korea.

    Baginda berharap agar dialog di antara pihak-pihak berkepentingan diteruskan yang mana ianya akan dapat menyumbang kepada penghapusan senjata nuklear (denuclearisation) di semenanjung tersebut.

    Sebelum sesi plenari berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap Malam yang dihoskan oleh Perdana Menteri Republik Singapura dan Pengerusi ASEAN, Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong bagi meraikan ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-32 di Istana, Republik Singapura.

    Sejurus keberangkatan tiba di Bilik Resepsi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dialu-alukan oleh TYT Lee Hsien Loong.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berangkat bersama-sama ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN lainnya ke State Room bagi menghadiri Majlis Santap Malam di mana TYT Lee Hsien Loong dalam ucapan pembukaannya mengalu-alukan kehadiran para pemimpin ASEAN dan delegasi ke Republik Singapura.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berangkat bersama-sama para pemimpin ASEAN yang lain bagi menghadiri Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN ke-32 yang berlangsung di Dewan Bankuet.

    Sesi plenari tersebut dimulakan dengan ucapan pembukaan daripada TYT Lee Hsien Loong dan diikuti dengan kenyataan daripada Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda