Mantapkan kedayatahanan ekonomi ASEAN-ROK

Gambar oleh Infofoto

BUSAN, 26 NOV – Republik Korea (ROK) dan ASEAN perlu terus mengembangkan lagi hubungan sedia ada bagi memastikan keamanan, kestabilan dan keselamatan melalui dialog, perundingan serta pertukaran yang kerap.

Ini kerana ROK kekal penting buat ASEAN selama 30 tahun hubungan ini yang menyaksikannya mampu mengatasi cabaran-cabaran seperti krisis-krisis kewangan, pandemik kesihatan dan masalah kesihatan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan kepentingan ROK buat ASEAN itu dalam titah dalam sesi plenari pertama Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-ROK ke-3 di Pusat Persidangan dan Pameran Busan (BEXCO) hari ini.

Baginda turut menekankan bahawa hubungan ASEAN-ROK akan datang bakal memberikan peluang dan cabaran-cabaran dalam kemajuan pesat teknologi di mana keselamatan siber diutamakan. Untuk itu, ASEAN mengalu-alukan penubuhan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN-ROK bagi mengatasi masalah jenayah rentas sempadan.

Baginda turut memperbaharui dan mengulangi komitmen Negara Brunei Darussalam sebagai negara penyelaras, untuk bekerja rapat dengan ROK dan negara-negara ASEAN lain ke arah meningkatkan perkongsian ini.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah bersama Presiden Korea dan pemimpin-pemimpin ASEAN bergambar ramai pada Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-ROK ke-3 BEXCO, Korea.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-ROK ke-3, kelmarin.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan berangkat menghadiri Sidang Startup ASEAN-ROK.
Baginda Sultan ketika berkenan menyaksikan Pameran Inovasi ASEAN-ROK 2019 bersama pemimpin-pemimpin ASEAN dan ROK.
Baginda Sultan ketika berkenan menyaksikan Pameran Inovasi ASEAN-ROK 2019 bersama pemimpin-pemimpin ASEAN dan ROK.
TYT Moon Jae-in semasa berucap pada permulaan sesi-sesi plenari.
Baginda Sultan ketika berkenan berangkat menghadiri Sidang Startup ASEAN-ROK bersama pemimpin-pemimpin ASEAN dan ROK.

Manakala pada sesi plenari kedua pula, Baginda Sultan menyentuh me-ngenai kepentingan ASEAN-ROK memperkukuhkan kedayatahanan ekonomi dan meningkatkan kesalinghubungan bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran rantau ini.

Kepimpinan ROK dalam bidang digital dan kesediaan Revolusi Industri (IR) ke-4 dapat membantu mengubah ekonomi ASEAN melalui inovasi dan keusahawanan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut mengalu-alukan langkah-langkah ke arah rantau yang lebih bersepadu dan menyambut baik penyelesaian Perjanjian Perkhidmatan Udara ke arah meningkatkan peluang perdagangan, pelancongan dan pelaburan.

Walau bagaimanapun, dalam mengejar kesalinghubungan dan membangunkan bandar pintar, ASEAN dan ROK juga perlu menangani isu-isu alam sekitar.

Terdahulu, keberangkatan Baginda ke BEXCO dialu-alukan oleh TYT Moon Jae-in bersama-sama pemimpin ASEAN lain dengan acara di BEXCO termasuklah Sidang Startup ASEAN-ROK, Pameran Inovasi ASEAN-ROK 2019 manakala itu, Majlis Santap Tengah Hari Retreat Para Pemimpin pula berlangsung di Nurimaru APEC House.

Sebelum titah Baginda Sultan, sesi-sesi plenari dimulakan dengan ucapan daripada Presiden ROK yang antara lain melahirkan penghargaan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana memainkan peranan besar sebagai negara penyelaras bagi Dialog ASEAN-ROK.

Beliau menekankan bahawa ASEAN adalah rakan kongsi signifikan Korea bukan sahaja dalam perdagangan dan ekonomi, malahan politik, keselamatan, masyarakat dan budaya. Selepas 30 tahun hubungan ASEAN-ROK, pelaburan, perdagangan dan pertukaran rakyat-ke-rakyat meningkat masing-masingnya sebanyak 20 kali, 70 kali dan 40 kali.

Menurutnya lagi, ASEAN dan ROK sudah menjadi rakan akrab dan bersama-sama menjadikan satu demi satu impian menjadi kenyataan.

Presiden ROK juga mendedahkan cabaran baharu yang bakal dihadapi ASEAN-ROK seperti proteksionisme, jenayah rentas sempadan dan IR ke-4 dan hanya kerjasama dan perpaduan kukuh yang mampu membantu mengatasinya.

“Jika ASEAN dan Korea bersatu dalam ‘Semangat Asian’ tidak kira sebesar manapun cabaran yang datang, kita boleh mengubahnya menjadi satu kejayaan,” tegasnya mengakhiri ucapannya.

Kedua-dua sesi plenari diakhiri dengan Kenyataan Bersama Visi ASEAN-ROK untuk Keamanan, Kemakmuran dan Perkongsian yang dipersetujui oleh Baginda Sultan, Presiden ROK dan pemimpin-pemimpin ASEAN lain.

Kenyataan bersama ini menekankan kemajuan perkongsian strategik ASEAN-ROK pada masa akan datang, memastikan rantau yang aman damai, kemakmuran dalam perkongsian ekonomi, memperluaskan lagi kesalinghubungan, bekerjasama dalam memastikan kemapanan dan kerjasama alam sekitar, serta mengembangkan lagi perkongsian sosiobudaya.

Sidang Startup ASEAN-ROK

Selepas Sidang Kemuncak Kome-moratif ASEAN-ROK, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat bagi sama-sama merasmikan Sidang Startup ASEAN-ROK.

Acara ini adalah sebahagian daripada minggu permulaan ComeUp 2019, iaitu acara permulaan global yang julung kalinya diadakan dengan tujuan bagi mempromosikan ekosistem permulaan ROK di dalam dan luar negara.

Dianjurkan oleh Kementerian PKS dan Startup ROK, acara khas ini bertujuan untuk membangunkan ekosistem permulaan untuk keamanan dan kemakmuran di bawah tema ‘Permulaan ASEAN-ROK, Memajukan ekonomi’. Acara ini memberi peluang untuk berkongsi trend permulaan di ASEAN dan Korea dan memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Upacara perasmian ini memuatkan pertunjukan khas hologram mengenai 3P: People, Peace and Prosperity of the ASEAN-ROK Commemorative Summit and Startup. Mewakili Negara Brunei Darussalam ialah Queenie Chong dari Syarikat Memori BN.

Lawatan ke Pameran Inovasi ASEAN-ROK 2019

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berangkat mengunjungi Pameran Inovasi ASEAN-ROK 2019.

Pameran kendalian Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga, ROK ini disertai oleh negara-negara ahli ASEAN dan negara tuan rumah. Ia antara lainnya memaparkan empat zon berasingan iaitu Zon Pertanian Pintar, Zon Alam Sekitar dan Tenaga Masa Akan Datang, Zon Pergerakan Masa Akan Datang dan Zon Kehidupan Pintar.

Pameran antara lainnya bertujuan untuk mempamerkan peralatan teknologi terkini yang sesuai dengan peredaran masa dalam era digital bagi manfaat rakyat di rantau ini.

Sebelum mengakhiri lawatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyertai para pemimpin lain menggunakan teknologi terkini Smart Glass dalam menyampaikan pesanan mengenai Kerjasama ASEAN-ROK buat masa akan datang.

Majlis Santap Tengah Hari Retreat Para Pemimpin

Selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat menghadiri Majlis Santap Tengah Hari Retreat Para Pemimpin di Nurimaru APEC House.

Semasa majlis ini, para pemimpin telah berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu semasa di peringkat serantau dan antarabangsa.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah memuji komitmen peribadi Presiden ROK dalam memperbaiki hubungan antara Korea, yang telah mewujudkan prospek yang lebih besar bagi kestabilan di rantau ini.

Peranan ASEAN dalam menyediakan platform bagi kerjasama inklusif adalah penting untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian, serta bagi menghalang kepentingan strategik daripada terjejas disebabkan ketidakpastian dan persaingan.

ASEAN dan ROK akan mengekalkan hubungan baik dengan kuasa besar lainnya ke arah menegakkan pembangunan serantau berdasarkan peraturan.

Dalam mengakhiri titah, Baginda menyatakan bahawa, Negara Brunei Darussalam akan bekerja lebih rapat lagi dengan ROK dan negara anggota ASEAN lainnya untuk menjaga keamanan, kestabilan dan keselamatan bagi semua pihak di rantau ini.