Mantapkan pengajian menerusi multimedia

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Menyedari akan kepentingan penggunaan multimedia sebagai salah satu komponen utama dalam strategi dan teknik pengajaran dan pembelajaran dalam era Revolusi Industri (IR) 4.0, Fakulti Usuluddin dengan kerjasama Pusat Multimedia dan Teknologi, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengadakan Bengkel Multimedia Pengajaran dan Pembelajaran, baru-baru ini.

Berlangsung di Dewan Tarbiyah, KUPU SB, bengkel sehari itu disertai oleh kira-kira 40 tenaga akademik KUPU SB dan bermatlamat bagi memupuk kesedaran dalam kalangan para tenaga akademik akan kepentingan multimedia dalam menghadapi sistem pengajaran dan pembelajaran pada era IR 4.0 dan seterusnya menyesuaikan teknik penyampaian pengajaran dalam kuliah dan halaqah.

Selain itu, ia diharapkan dapat membina dan memantapkan kurikulum pengajian agar dapat dilaksanakan menerusi platform multimedia.

Dekan Fakulti Usuluddin, Dr Mikdar Rusdi selaku pengerusi bersama bengkel menjelaskan bahawa bengkel yang diadakan adalah bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Konvokesyen ke-8 KUPU SB yang mana ahli-ahli akademik, guru dan graduan diseru untuk sentiasa mengambil kesempatan dan kelebihan atas kecanggihan teknologi untuk menjadi lebih kreatif, inovatif dan produktif dalam menyediakan sumber bahan bantu mengajar yang lebih menarik, cepat dan mudah, yang juga boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan mutu dan
kegiatan dakwah.

Beliau juga menyatakan harapan agar bengkel itu boleh dijadikan platform secara berterusan dalam meningkatkan kebolehan tenaga akademik KUPU SB dalam menggunakan perisian multimedia dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang juga boleh dijadikan sebagai medium komunikasi yang positif dan efektif antara pensyarah dan pelajar.

Dalam bengkel tersebut, para peserta turut dijelaskan mengenai kepentingan peranan multimedia dalam pendidikan dan penghuraian kelebihan dan potensi yang terdapat dalam penggunaan perisian teknologi. Turut diadakan adalah sesi pengaplikasian beberapa jenis teknologi terkini dalam ICT.

Dr Mikdar Rusdi menyampaikan ucapan alu-aluannya.