Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Seramai 53 orang dari agensi-agensi kerajaan dan orang persendirian menghadiri Bengkel Kemahiran Keibubapaan Islam ke-3 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
Bengkel anjuran KUPU SB melalui Pusat Fiqh Al-Usrah itu dimulakan dengan ucapan pengerusi, Pengarah Pusat Pengkajian Fiqh Al-Usrah, Dr Haji Sham bin Haji Amin yang menjelaskan bahawa antara objektif bengkel berkenaan adalah untuk menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menumpukan usaha bagi merangka dasar-dasar dan perancangan pengukuhan institusi keluarga.
Selain itu, ia merupakan sebuah program dalam Pelan Tindakan Keluarga 2021-2024 di bawah Jawatankuasa Khas Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak di mana KUPU SB bertindak sebagai agensi pelaksana bertanggungjawab bagi objektif dua pelan berkenaan iaitu memastikan sistem jaringan keselamatan dan sokongan sosial keluarga yang kukuh dan berdaya tahan.
Beliau turut menyatakan bahawa bengkel tersebut diharapkan dapat memberikan pendedahan dan kemahiran tarbiah kepada ibu bapa dan anak-anak menurut Al-Quran dan Sunnah sesuai dengan perkembangan dan peredaran zaman masa kini sama ada dari sudut teori, praktikal dan spiritual.
Lapan modul akan dibincangkan dalam bengkel termasuk ‘Memantapkan praktikaliti solat dalam kalangan keluarga’, ‘Menghayati Al-Quran dalam kalangan keluarga dan anak-anak’, ‘Penghayatan prinsip Maqasid Syariah ke arah Pembentukan keluarga Sejahtera’, ‘Pendidikan Aqidah, Syariah dan Akhlak dalam keluarga’, ‘Penerapan dan pengukuhan Aqidah dalam kalangan anak-anak dalam mendepani isu-isu global di era globalisasi’, ‘Kaedah meraih keluarga Sakinah Mawaddah Warahmah’, ‘Pengamalan nilai-nilai MIB membina keluarga bahagia’, dan ‘Melestarikan penggunaan media sosial sihat terhadap anak-anak’ yang dimudah cara oleh para tenaga akademik KUPU SB.
Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar dalam perbincangannya turut menyentuh mengenai memantapkan praktikaliti solat dalam kalangan keluarga. Ibu bapa perlu memahami kelebihan solat berjemaah di masjid dan kepentingan untuk mendedahkannya kepada anak-anak, tambahnya.
Beliau menjelaskan perkara-perkara penting dalam praktikaliti solat seperti memastikan jarak kaki satu jengkal semasa berdiri tegak, tertib dalam Takbiratulihram dan memakai pakaian putih ketika solat.