NEW YORK, 27 Dis – Bekas orang nombor satu Persatuan Bolasepak Peru, Manuel Burga dibebaskan daripada sebarang tuduhan rasuah selepas mahkamah Amerika Syarikat (AS) mendapati dia tidak terbabit dengan isu itu.
Dalam perbicaraan yang memasuki hari ketujuh di sini, dia dituduh menerima suapan dalam menentukan hak penyiaran dan pemasaran berjumlah AS$200 juta ketika memimpin badan induk bola sepak itu.
Panel perbicaraan mendapati, dia tidak menerima sebarang wang daripada mana-mana pihak dan melepaskan tokoh berusia 60 tahun itu daripada sebarang tuduhan.
“Banyak kerja yang menanti saya di Peru dan saya akan terus pulang. Saya tidak menyimpan apa-apa perasaan dendam kepada sesiapa pun,” katanya.

“Mulai sekarang, saya mahu membuka buku baru dan terus memandang ke hadapan. Tuhan sudah mendengar doa saya dan juri pula menemui kebenaran biarpun saya ditahan hampir dua tahun dan 22 hari,” katanya.
Sebelum ini, Burga ditahan oleh pihak berkuasa AS bersama bekas Presiden Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF), Jose Maria Marin dan bekas pegawai kanan Persatuan Bolasepak Paraguay, Juan Angel Napout pada 2015 lalu.
Tetapi lebih dua setengah tahun kemudian, perbicaraan rasuah dibukakan semula di Mahkamah Brooklyn dengan hanya tiga defendan dan sekarang seorang daripada mereka sudah dibebaskan.
Perbicaraan tersebut telah mendedahkan sistem rasuah yang berlaku dalam sukan yang terkenal di dunia, pihak pendakwa raya AS menarik balik dakwaan ke atas Burga. – AFP