Tuesday, February 4, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Manusia, robot berlumba dalam Separa Maraton Beijing akan datang

    BEIJING, 4 FEB – Ibu kota China, Beijing bakal menjadi tuan rumah separa maraton yang menakjubkan apabila ribuan peserta akan bersaing dengan dengan puluhan robot.

    Laporan Oddity Central menyatakan seramai 12,000 peserta dijangka mengambil bahagian bersama-sama berpuluh-puluh robot yang dibangunkan oleh syarikat robotik utama, termasuk Tesla, Boston Dynamics dan 1X dalam acara yang akan diadakan di Kawasan Pembangunan Ekonomi-Teknologi Beijing (E-Town) April nanti.

    Syarat kelayakan robot adalah: mempunyai penampilan struktur badan seperti manusia; berketinggian antara 0.5 dan 2 meter (jadi tiada jentera gergasi dibenarkan); dan berupaya untuk berlari atau sekurang-kurangnya berjalan dengan dua kaki.

    Tidak layak kerana terlalu besar. – Gambar Pexels

    Pemenang pertandingan berkenaan -sama ada manusia atau robot– bakal menerima hadiah wang bergantung kepada prestasi peserta.

    Adakah robot dengan mudah mengatasi manusia?  Kita perlulah menunggu sehingga April untuk mengetahuinya, tetapi pakar pernah mengatakan peserta manusia yang berpengalaman mempunyai kelebihan berbanding robot.

    Ini adalah kerana kelajuan larian robot dilaporkan berkisar antara 8 hingga 12 km/j, manakala untuk menamatkan larian separuh maraton sejauh 21.1 kilometer dalam satu setengah jam memerlukan kelajuan purata 14 km/j.

    Berdasarkan kelajuannya, mungkin ia hadir sebagai penonton sahaja. – Gambar Unsplash

    Selain itu, kuasa bateri untuk robot juga mungkin menjadi faktor utama, kerana penganjur telah mengumumkan bahawa pertukaran bateri pada pertengahan perlumbaan dibenarkan.

    Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama robot bersaing dengan manusia dalam acara larian rasmi. Tahun lepas, Laibo 2, robot berkaki empat yang dibangunkan di Korea Selatan menjadi robot pertama yang pernah melengkapkan maraton penuh dengan bateri sekali cas.

    Malangnya, Laibo 2 tidak layak mengambil bahagian dalam separuh maraton April kerana acara itu hanya terbuka kepada robot dua kaki.

    Sementara Oktober tahun lalu, Tiangong, robot buatan China secara teknikal mengambil bahagian dalam acara Separa Mataron Yizhuang di Beijing, tetapi hanya berlari bersama pelari manusia sejauh 100 meter untuk tujuan fotografi sahaja.

    Tiangong juga akan berada di garisan permulaan April nanti tetapi kali ini dengan harapan untuk berlari keseluruhan perlumbaan. – Agensi

    Tiangong semasa menyertai Separa Maraton Yizhuan. Ia berharap dapat sertai larian penuh dalam pertandingan April nanti. – Oddity Central
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda