Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Jabatan Muzium-muzium Brunei, hari ini, telah menganjurkan program lawatan Bengkel Asas Pemuliharaan Manuskrip dan Digitalisasi di Pusat Pengkajian Borneo (penBorneo), Berakas.
Bengkel tersebut mengongsikan tentang jenis koleksi bahan-bahan manuskrip serta asas pemuliharaannya yang terdapat di penBorneo.
Para peserta bengkel terdiri daripada 29 orang dari Pusat Sejarah Brunei, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei (DBP), Jabatan Ukur, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kementerian Pertahanan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Adat Istiadat Negara, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Pejabat Peguam Negara Brunei, dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan taklimat ringkas mengenai Koleksi Manuskrip penBorneo yang disampaikan oleh Pegawai Sejarah, Dayang Mardiah binti Haji Ramli.
Taklimat diteruskan dengan topik Asas Pemeliharaan Rekod Manuskrip yang disampaikan oleh Pegawai Sejarah, Awang Muhammad Hefni bin Mahari sebelum para peserta dibawa melawat koleksi bahan penyimpanan rekod dan acara diakhiri dengan tunjuk cara asas pemeliharaan manuskrip.

Terdahulu, Awang Muhammad Hefni semasa ditemui Media Permata menjelaskan bahawa tujuan lawatan tersebut ialah untuk mendedahkan bahan-bahan rekod yang terdapat di penBorneo dan juga bagi memberikan sedikit asas pemeliharaan rekod kepada para peserta bengkel.
“Kenapa manuskrip itu perlu dipelihara? Memang penting kerana pertama, ia adalah merupakan sumber utama bagi para perujuk yang menyelidik sejarah Borneo, dan seterusnya manuskrip itu juga adalah merupakan warisan negara kita dan juga identiti bangsa,” ujar beliau.
Manuskrip-manuskrip yang terdapat itu, menurut beliau, terdiri daripada manuskrip-manuskrip di Borneo. Jadi ia juga merupakan warisan negara-negara jiran yang lain.
“Manuskrip ini juga adalah sesuatu yang sudah rosak, jika sekiranya ia tidak dipelihara lebih awal, ia akan terdedah kepada ejen-ejen perosak dan sebagai-nya,” tambahnya.
Daripada lawatan tersebut, beliau berharap supaya para peserta serba sedikit mendapat ilmu pengetahuan untuk diguna pakai di jabatan masing-masing khususnya bagi institusi-institusi atau jabatan-jabatan yang menyimpan bahan-bahan rekod yang bernilai serta manuskrip.