Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maqasid Syariah pastikan urusan berjalan sempurna

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Fungsi agama ialah untuk mengatur kehidupan manusia dan ia menjadi punca kepada kewujudan kebajikan bagi penganutnya.

    Di sinilah pentingnya Maqasid Syariah, iaitu bagi memastikan urusan kehidupan berjalan dengan sempurna, sama ada urusan peribadi atau urusan berupa pentadbiran negara.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan perkara itu sempena Sambutan Ilal Hijrah 1445 di Istana Nurul Iman, hari ini.

    Tema sambutan pada tahun ini ialah ‘Ugama Dipelihara, Negara Sejahtera’ yang mana konsep tema ini diambil daripada salah satu Maqasid Syariah iaitu memelihara agama, dan agama yang dimaksudkan ialah agama Islam.

    “Beta mengambil maklum bahawa Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah merintis langkah menyebarluaskan kefahaman mengenai Maqasid Syariah yang bukan sahaja di sektor kerajaan malah di sektor-sektor swasta,” titah Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan Ilal Hijrah 1445 di Istana Nurul Iman, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto

    Dalam hubungan ini, Baginda dalam titahnya menyarankan supaya pihak berkenaan membarigakan perkara ini ke seluruh lapisan masyarakat di negara ini dan bukan sahaja di kawasan bandar, bahkan juga di kampung-kampung.

    Baginda bertitah melahirkan keyakinan, kesan daripada memelihara agama, rakyat di negara ini akan terus menerus menikmati kemakmuran di mana kerajaan Baginda sentiasa berusaha untuk memastikan, tiada seorang rakyat pun yang akan dibiarkan melarat tanpa dibela.

    Ke arah itu, Baginda telah memperkenankan penaiktarafan Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat, Jabatan Majlis Ugama Islam menjadi Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal, KHEU.

    “Jabatan ini dengan rasminya akan beroperasi pada 19 Julai 2023 dan tertubuhnya jabatan ini, hal ehwal pengurusan zakat dari sudut pengagihan dan keberkesanan termasuk pelaksanaan program lain, dijangka akan lebih efektif dan efisien,” titah Baginda.

    Ini juga dalam perkara pengurusan wakaf dan harta baitulmal yang akan menumpukan usaha ke arah mempelbagaikan pengurusan dan penggunaan wakaf di samping mengurus dan mengembangkan harta-harta baitulmal.

    Baginda seterusnya bertitah menyeru seluruh rakyat dan masyarakat di negara ini untuk sama-sama berganding bahu melaksankan tanggungjawab masing-masing bagi memelihara kesejahteraan yang dinikmati tanpa mengira kedudukan, latar belakang dan sebagainya.

    Ini menurut Baginda, walaupun secara zahir keadaan kita berlainan, namun matlamat adalah sama sahaja untuk mempertahankan kesejahteraan negara yang kita cintai dengan berpandukan Al-Quran dan hadis.

    Semasa mengurniakan titah itu, Baginda turut mengumumkan, bermula tahun 1445 Hijrah, nama bagi Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah digantikan dengan ‘Sambutan Ilal Hijrah’ yang bermaksud ‘ke arah penghijrahan’. Ini dalam makna, bergerak mengubah atau memperbaiki kehidupan yang kurang baik kepada yang lebih baik dan dengan perubahan itu, Baginda menyambut baik perubahan itu, untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat mahupun negara.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda