Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah malam tadi berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam di Dewan Serba Guna, Green Jade Centrepoint di Gadong.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim berjaya menumpaskan pesaingnya, Mohd Shahibol Faiz bin Mohd Norfaidzal untuk mara ke peringkat separuh akhir bagi Kategori Perseorangan Remaja Lelaki Bawah 13 Tahun. Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim berjaya menewaskan lawannya dengan keputusan straight set 22-20, 21-19.
Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah. Dalam pada itu, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim akan berentap dalam peringkat separuh akhir malam esok di venue yang sama.

