Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mara pusingan ketiga meskipun selesema

    NEW YORK, 1 SEPT – Ons Jabeur berjaya mengatasi serangan selesema yang membuatnya berasa seperti zombi untuk melayakkan diri ke pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

    Pemain pilihan kelima dari Tunisia itu bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaiknya sejak tiba di New York, selepas diserang penyakit menjelang kejohanan.

    Selepas mengalami kesukaran untuk bernafas semasa kemenangan pusingan pembukaannya pada Selasa, Jabeur sekali lagi menghadapi cabaran kelmarin, bertungkus-lumus untuk menang 7-6 (9/7), 4-6, 6-3 ke atas pemain remaja dari Czech, Linda Noskova.

    Jabeur, yang berhasrat untuk meraih gelaran Grand Slam pertamanya selepas kalah berturut-turut pada perlawanan akhir Wimbledon tahun lalu dan musim ini, serta menjadi naib juara pada Terbuka AS tahun lalu, mendedahkan selepas kemenangannya bahawa dia telah jatuh sakit sejak minggu lepas.

    “Saya sakit sejak Khamis lalu,” katanya. “Saya mengambil banyak ubat. Saya melakukan semua yang saya mampu dengan pasukan saya untuk pulih.

    “Sejujurnya, mereka mempunyai doktor yang hebat di sini, jadi mereka telah membantu saya. Setiap hari saya berjumpa dengan mereka. Saya mengambil setiap ubat yang mereka ada.

    “Kami cuba menguruskan tahap kesihatan saya sekarang. Saya gembira kerana telah melalui dua perlawanan, dua ujian untuk saya. Saya cuba mendorong diri sendiri untuk melihat apa yang boleh saya lakukan, keluar dari zon selesa,” katanya.

    Jabeur berharap supaya keadaan kesihatannya menjadi semakin baik menjelang perlawanan seterusnya. – AFP

    Jabeur membalas pukulan Linda Noskova semasa pusingan kedua kejohanan tenis Terbuka AS di New York, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda