Saturday, December 28, 2024
21.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Maradona China’ harapan Lippi

    SHANGHAI, 30 Ogos – Bintang Brazil, Oscar melabelkannya sebagai ‘pemain terbaik China’ dan di sepanjang kerjayanya dia membawa beban kerana digelar sebagai ‘Maradona China’.

    Wu Lei perlu membuktikannya kenapa dia digelar dengan nama itu pada hari Khamis ini, jika China perlu terus menghidupkan harapan tipis Piala Dunia 2018 mereka dalam perlawanan mesti menang dengan Uzbekistan di Wuban.

    Wu menjadi tumpuan mengatasi rakan sepasukannya yang bernilai 60 juta, Oscar dalam kemenangan besar 4-0 ke atas Guangzhou Evergrande dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara AFC minggu lepas, menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit dan memenangi satu penalti.

    Larian solo pemain berusia 25 tahun itu membuktikan kenapa dia tidak kehilangan tempat bersama Oscar dan Hulk di Shanghai SIPG, dan kenapa dia menjadi pusat masa depan China.

    Jurulatih China, Marcello Lippi secara tidak langsung menyatakan kepentingan Wu minggu ini apabila dia berkata dia sangat kekurangan penjaring gol.

    Pemain Shanghai SIPG, Wu Lei, yang juga digelar sebagai ‘Maradona China’ ketika beraksi dalam perlawanan Liga Juara-Juara AFC pada 28 Februari 2017. – AFP

    “Kami tidak mempunyai penyerang. Di atas kertas saya tidak mempunyai seorang penyerang, saya perlu menjadikan pemain lain untuk bermain di posisi penyerang,” kata Lippi, 69.

    Pada tahun lepas Wu telah dinamakan sebagai Pemain Terbaik Asia. Wu menjadi pemain paling muda China menjadi profesional di usia 14 tahun. Dia mempunyai perkadaran secara kasarnya satu gol setiap dua perlawanan untuk kelabnya.

    Musim ini dia melakukan lebih baik, menjaringkan 19 kali dan lapan umpanan gol dalam 31 kemunculan.

    Dia sangat prolifik untuk negaranya, tujuh gol dalam 43 kemunculan, tetapi kemungkinan besar ditempatkan di bahagian serangan oleh Lippi bagi pertembungan dengan Uzbekistan kerana kekurangan pilihan di bahagian atas.

    China perlu menang dalam perlawanan itu dan sekali lagi ketika menentang Qatar minggu depan, dan berharap keputusan dalam perlawanan lain berpihak kepada mereka, bagi meraih tempat ketiga dalam Kumpulan A dan slot playof. Mereka ketika ini berada di kedudukan terbawah dengan satu kemenangan daripada lapan perlawanan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda