SAN LUIS POTOSI, Mexico, 6 Mei – Harapan Diego Maradona untuk memenangi gelaran pertamanya sebagai jurulatih pada Ahad hancur berkecai apabila skuad Dorados beliau tewas pada final divisyen dua Mexico, sekali gus terlepas promosi ke divisyen satu.
Pemain sayap Atletico San Luis menjaringkan gol kedua dalam masa tambahan pusingan kedua final untuk merangkul gelaran dan tempat divisyen pertama – kali kedua mereka membiarkan Maradona menggigit jari dalam dua perlawanan berturut-turut.
“Saya macam nak mampus. Tetapi saya OK.
Saya sedih dengan para pemain saya,” kata Maradona selepas tamat perlawanan kelmarin.
Legenda Argentina itu dan pasukannya menghadapi tugas berat menuju pusingan kedua final setelah terikat 1-1 di Culiacan. Mereka berjaya menambat Atletico selama 90 minit di San Luis Potosi.
Tetapi pertahanan Sepanyol, Unai Bilbao mencatat gol kemenangan untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-103 selepas penjaga gol Dorados Gaspar Servio gagal membaca arah sepakan percuma.
Kekalahan itu mengakhiri kembara 14 permainan tanpa kalah Dorados di depan 25,000 penyokong tegar yang mengejek Maradona tanpa henti.
Maradona, 58, yang mengendalikan kelab Sinaloa itu September lalu menimbulkan pelbagai andaian serong mengapa juara Piala Dunia 1986 yang bergelut dengan ketagihan kokain memilih tempat yang lebih dikenali sebagai kartel dadah berbanding bola sepak.
Tetapi dia telah menjawab pengkritiknya dengan melatih Dorados sehingga dua kali berjaya melangkah ke final menentang San Luis. San Luis menewaskan Dorados dengan agregat 4-3 pada final musim luruh Disember lalu.
Setelah memenangi peringkat akhir musim bunga, kelab sekutu Atletico Madrid itu mendapat promosi automatik ke divisyen pertama. Sekiranya kalah, mereka akan menghadapi playoff melawan Dorados untuk menentukan pemenang promosi.
Bagaimanapun, Maradona boleh berbangga kerana telah berjaya meletakkan Dorados di tempat mereka sekarang. Kelab itu berada di tangga ke-13 dalam divisyen 15 pasukan ketika dia tiba. – AFP