Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maradona kecam taktik Sampaoli

    BRONNITSY, 18 Jun – Legenda Argentina, Diego Maradona (gambar bawah) mengeluarkan kenyataan pedas tentang keputusan seri 1-1 skuad Argentina ketika menentang Iceland, sambil memberi amaran kepada jurulatih Jorge Sampaoli bahawa dia tidak akan disambut dengan baik melainkan dia mengubah corak taktikal permainan pasukan.

    “Jika bermain sebegitu, dia tidak boleh kembali ke Argentina,” kata pemenang Piala Dunia 1986 itu dalam satu siaran televisyen Venezuela selepas Lionel Messi terlepas penalti dalam perlawanan Kumpulan D di Moscow.

    “Ia memalukan. Tidak bersedia untuk perlawanan apabila mengetahui Iceland yang kesemuanya berketinggian 1.90m. Saya dapat rasakan ada kemarahan dalam hati pasukan,” kata Maradona, yang juga merupakan bekas jurulatih Argentina.

    Argentina mendahului menerusi Sergio Aguero pada minit ke-19 dengan Maradona menyaksikan perlawanan daripada kerusi penonton di Stadium Spartak.

    Tetapi Iceland yang bermain buat kali pertama di Piala Dunia, menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi Alfred Finnbogason.

    Messi yang masih belum membuktikan kemampuannya di Piala Dunia, gagal menyudahkan peluang menerusi sepakan penalti pada minit ke-63 apabila cubaannya diselamatkan Hannes Halldorsson.

    Maradona bagaimanapun enggan mengkritik pemain itu dan menyalahkan Sampaoli.

    “Saya tidak boleh salahkan pemain, lebih-lebih lagi Messi yang melakukan segala-galanya,” katanya.

    “Saya terlepas lima penalti dan saya masih Diego Armando Maradona. Saya tidak fikir mereka tercicir dua mata hanya kerana Messi terlepas penalti,” tambah Maradona, yang menerajui skuad Argentina ke suku akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda