Maradona kekal bersama Gimnasia y Esgrima

BUENOS AIRES, 4 JUN – Bintang Argentina, Diego Maradona telah menandatangani pelanjutan kontraknya sebagai jurulatih Gimnasia y Esgrima La Plata hingga akhir musim 2021, kata pasukan itu semalam.

Gimnasia memberi penghormatan kepada bekas pemain ikonik dan kapten pasukan Argentina itu yang pernah memenangi Piala Dunia 1986 di Mexico, yang menggambarkannya sebagai lagenda terbaik.

“Bagi kami, kamu adalah Tripero dan hatimu biru dan putih seperti kami,” kata Gimnasia di media sosial, merujuk pada nama panggilan kelab itu, yang bermaksud pengendali dan warna pasukan. Maradona menyertai pasukan divisyen pertama itu pada September 2019 dan membimbing mereka dengan memperoleh tujuh kemenangan dan lapan kekalahan dalam 20 perlawanan, dengan lima seri.

Dia mengundurkan diri pada bulan November lalu tetapi dua hari kemudian berubah fikiran dan mengumumkan bahawa dia akan kembali.

Pada akhirnya, mereka diselamatkan dari penyingkiran oleh pandemik koronavirus dan keputusan persekutuan Argentina untuk membatalkan musim ini. Maradona, yang akan berusia 60 tahun pada bulan Oktober ini, menulis di media sosial: “Hari ini adalah ulang tahun Serigala,” merujuk kepada nama samaran Gimnasia. Kontrak Maradona sebelumnya akan habis pada bulan Ogos ini tetapi berita mengenai perjanjian baharu muncul, ketika kelab tertua Argentina itu, menyambut ulang tahunnya ke-133. – AFP

Bekas bintang bola sepak Argentina dan jurulatih pasukan baharu Gimnasia y Esgrima La Plata, Diego Armando Maradona semasa perlawanan bola sepak Superliga Divisyen Pertama Argentina menentang Racing Club, di stadium El Bosque, di bandar La Plata, provinsi Buenos Aires, Argentina. – AFP