SACHSENRING, 13 JULAI – Marc Marquez mengatasi kesilapan di selekoh pertama untuk memenangi perlumbaan pecut MotoGP Jerman pada pusingan terakhir di Sachsenring yang licin kelmarin.
Pendahulu kejuaraan yang dominan itu bermula dari petak utama, namun penunggang pasukan Ducati itu tersasar di selekoh pertama dan jatuh ke kedudukan kelima, memberi peluang kepada Marco Bezzecchi untuk mengambil alih pendahuluan.
Pada pusingan ketiga, Franco Morbidelli mengalami kemalangan teruk di selekoh lapan apabila penunggang Ducati VR46 itu tercampak dan berguling di udara sebelum terhempas ke kawasan keselamatan berkerikil.
Dengan baki 10 pusingan, Marquez berjaya merapatkan jurang dan naik ke tempat ketiga, ketika Bezzecchi (Aprilia) mendahului lebih satu saat di hadapan Fabio Quartararo, bekas juara dunia dari Yamaha yang bermula dari barisan ketiga.
Marquez seterusnya mengejar Bezzecchi dan berjaya memintasnya pada pusingan terakhir, meninggalkan pelumba Itali itu, manakala Quartararo kekal di tempat ketiga.

“Saya buat kesilapan semasa keluar dari selekoh pertama, kemudian kehilangan beberapa posisi, tapi sedikit demi sedikit saya menemui rentak. Saya gembira,” kata Marquez, yang sedang memburu gelaran dunia elit ketujuh untuk menyamai rekod legenda Valentino Rossi dan hanya satu di belakang pemegang rekod sepanjang zaman, Giacomo Agostini.
Bezzecchi tidak terlalu kecewa walaupun terpaksa akur di tempat kedua kepada pelumba yang semakin meningkat pada masa ini.
“Memang sukar apabila tewas di penghujung perlumbaan, tapi saya perlu katakan ini adalah hari yang sangat positif buat saya,” katanya. “Harap-harap cuaca kering esok.”
Kemenangan ini merupakan kemenangan ke-10 Marquez dalam perlumbaan pecut Sabtu daripada 11 penyertaan, sekali gus mengukuhkan cengkamannya dalam kejuaraan dunia 2025.
Pelumba Sepanyol itu kini melebarkan jurangnya kepada 78 mata ke atas adik lelakinya, Alex Marquez, yang menamatkan perlumbaan di tempat kelapan pada hari Sabtu.
Marc Marquez kini menjadi pilihan utama untuk memenangi perlumbaan utama Ahad ini, ketika dia menyasarkan kemenangan hujung minggu ketujuh musim ini – dalam perlumbaan pecut dan perlumbaan utama.
Petak permulaan akan kehilangan kelibat Maverick Vinales, pelumba KTM-Tech 3 yang terpaksa menarik diri selepas mengalami patah bahu kiri akibat terjatuh ketika sesi kelayakan. – AFP