BERLIN, 16 DIS – FIFA mengesahkan Szymon Marciniak dari Poland bakal menjadi pengadil untuk perlawanan akhir Piala Dunia 2022 antara Argentina dan Perancis pada Ahad ini, lapor agensi akhbar Jerman, DPA.
Marciniak sebelum ini menjadi pengadil untuk perlawanan Perancis bertemu Denmark dan Argentina menentang Australia. Beliau yang pernah mengadili perlawanan di Piala Dunia 2018 di Rusia, setakat ini telah melayangkan hanya lima kad kuning sepanjang dua perlawanan pada kejohanan tahun ini dan masih belum memberikan sebarang sepakan penalti atau kad merah.
Beberapa pengadil termasuk Antonio Mateu Lahoz telah menerima kritikan ketika mengadili perlawanan pada peringkat kalah mati. Persekutuan Bola Sepak Maghribi turut mengemukakan bantahan kepada FIFA berhubung prestasi pengadilan Cesar Ramos semasa perlawanan separuh akhir Piala Dunia menentang Perancis pada Rabu.
FIFA juga mengumumkan Abdulrahman Al Jassim dari Qatar akan mengadili perlawanan penentuan tempat ketiga pada Sabtu ini antara Croatia dan Maghribi. – Bernama









