MANILA, 29 JAN – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos hari ini membalas balik terhadap tuduhan Rodrigo Duterte dengan mengatakan dia adalah ‘penagih dadah’ dan mendakwa penggunaan fentanyl secara berpanjangan oleh presiden sebelumnya telah menjejaskan kesihatannya.
Komen Marcos dibuat selepas Duterte melontarkan kata-kata kasar ke atas penggantinya berhubung kempen mengubah perlembagaan negara, sebagai tanda terbaru keretakan hubungan antara keluarga berpengaruh mereka.
Dalam perhimpunan penyokong di kubu kuat selatannya di bandar Davao kelmarin, Duterte berkata Marcos adalah ‘penagih dadah’ dan telah dimasukkan dalam senarai orang yang dikaitkan dengan dadah haram oleh Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA).
Duterte tidak memberikan bukti untuk tuduhan itu dan PDEA mengeluarkan kenyataan hari ini mengatakan Marcos ‘tidak dan tidak pernah berada dalam senarai pemerhatiannya’.
“Saya fikir ini disebabkan oleh fentanyl,” kata Marcos kepada pemberita apabila ditanya mengenai dakwaan Duterte.
“Ia menyebabkan ketagihan dan mempunyai kesan sampingan yang sangat serius. PRRD (Presiden Rodrigo Roa Duterte) telah mengambil ubat itu untuk masa yang lama sekarang,” kata Marcos.
Fentanyl adalah sejenis opioid sintetik yang jauh lebih kuat daripada heroin.
Namun, Marcos tidak memberikan sebarang bukti tentang dakwaannya. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/01/P11-D-web-AFP_30012024.jpg)