Selasa, Julai 29, 2025
33 C
Brunei

    Berita Terkini

    Marcos beri tumpuan isu domestik Filipina

    MANILA, 28 JULAI – Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. telah menyampaikan ucapan kepada parlimen ketika negaranya berdepan pelbagai krisis pada pertengahan penggal enam tahun, termasuk ribut teruk baru-baru ini dengan lebih 120,000 orang berkhemah di pusat perlindungan kecemasan, perbalahan dengan naib presiden dan pertikaian wilayah yang semakin memuncak.

    Kira-kira 22,000 anggota polis telah dikerahkan hari ini untuk mengawal kompleks Dewan Rakyat di pinggir bandar Quezon di wilayah ibu negara itu sebelum ucapan Marcos kepada kedua-dua Dewan Kongres, pegawai tinggi kerajaan dan tentera serta diplomat.

    Sementara itu, beribu-ribu penunjuk perasaan turut mengadakan perhimpunan bagi mengemukakan pelbagai tuntutan daripada gaji yang lebih tinggi berikutan inflasi yang tinggi kepada perbicaraan segera Naib Presiden, Sara Duterte, berhubung tuduhan jenayah.

    Pengembalian Marcos menerajui tampuk pentadbiran pada pertengahan 2022, lebih 30 tahun selepas pemberontakan ‘Kuasa Rakyat’ yang disokong tentera berjaya menggulingkan bapanya daripada jawatan dan menjadi keaiban global, merupakan salah satu kebangkitan politik yang paling dramatik. Bagaimanapun, beliau berdepan pelbagai masalah, termasuk ekonomi yang merupakan salah satu yang paling teruk terjejas oleh pandemik COVID-19, justeru memburukkan lagi isu kemiskinan, pengangguran, inflasi dan kelaparan.

    Perikatan politiknya dengan Duterte menemui kegagalan dan beliau serta keluarganya, termasuk bapanya, bekas Presiden Rodrigo Duterte, menjadi pengkritik paling lantangnya.

    Bekas presiden itu ditangkap pada Mac di lapangan terbang antarabangsa Manila dan seterusnya ditahan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa di Belanda atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan berhubung tindakan keras kempen dadah beliau yang membunuh ramai orang awam. – AP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda