MANILA, 23 MEI – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos, telah menggantikan Menteri Luar Negeri namun mengekalkan pasukan ekonominya, menurut seorang pegawai kanan kerajaan, hari ini.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas Marcos menggesa semua setiausaha kabinetnya untuk meletakkan jawatan dalam usaha menyusun semula pentadbirannya.
Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri, Enrique Manalo akan digantikan oleh Timbalan Setiausaha Theresa Lazaro berkuat kuasa 31 Julai, menurut taklimat dari Istana Presiden.
Manalo pula akan dilantik sebagai wakil tetap Filipina ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Penganalisis memberitahu AFP kelmarin bahawa rombakan kabinet itu bertujuan untuk memulihkan populariti Marcos selepas parti beliau mencatat keputusan mengecewakan dalam pilihan raya pertengahan penggal.

“Saya tidak menganggap ini sebagai ‘pembersihan besar-besaran’, tetapi sebagai pembersihan… Akan ada lebih banyak tindakan susulan,” kata Setiausaha Eksekutif, Lucas Bersamin dalam taklimat tersebut.
Menteri luar yang akan berundur itu dijadualkan tetap mengiringi Marcos ke Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN di Malaysia minggu depan.
Rombakan kabinet itu turut menyaksikan Menteri Alam Sekitar digantikan oleh Menteri Tenaga, namun jawatan-jawatan lain masih sedang dinilai dengan lebih teliti, kata Bersamin lagi.
Sementara itu, Marcos memutuskan untuk mengekalkan setiausaha kewangan, perdagangan, belanjawan dan perancangan ekonomi dalam kabinetnya.
“Presiden memutuskan untuk mengekalkan lima anggota pasukan ekonomi ini agar tidak timbul masalah persepsi mengenai hala tuju negara,” tambah Bersamin. – AFP