MANILA, 30 APRIL – Presiden Ferdinand Marcos meninggalkan Manila bagi lawatan ke Amerika Syarikat (AS) hari ini, selepas sekutu-sekutu itu meningkatkan kerjasama ketenteraan di Laut China Selatan dengan latihan terbesar mereka dan menandatangani perjanjian memperluaskan akses angkatan AS hingga ke pangkalan di Filipina.
Manila dan Washington baru-baru ini bersetuju untuk memperluaskan kerjasama mereka dalam ‘kawasan strategik’ Filipina ketika mereka berusaha untuk menentang ketegasan Beijing yang semakin meningkat di rantau itu dan tuntutan meluasnya ke atas perairan yang dipertikaikan, pulau-pulau kecil dan beting.
Marcos memulakan perjalanan empat harinya dengan pertemuan bersama Presiden AS, Joe Biden esok di Rumah Putih, yang disifatkan pemimpin Filipina itu sebagai ‘penting untuk memajukan kepentingan negara kita dan mengukuhkan pakatan yang sangat penting itu’.
“Kami akan mengesahkan komitmen kami untuk memupuk pakatan kami yang telah lama wujud sebagai instrumen keamanan dan pemangkin pembangunan di rantau Asia Pasifik,” kata Marcos dalam satu kenyataan sebelum berlepas.
Menjelang lawatan itu, jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller menyelar China berhubung insiden hampir berlanggar salah satu kapalnya dengan bot peronda Filipina seminggu lalu, dengan mengatakan ia satu peringatan ke atas ‘gangguan dan ugutan’ Beijing di laluan air yang dipertikaikan itu.
Sebelum berlepas hari ini, Marcos berkata dia akan menyampaikan kepada Biden bahawa Manila ingin menjalin hubungan yang lebih kukuh dalam pelbagai bidang daripada keselamatan makanan dan tenaga, hingga ‘memastikan daya tahan daripada ancaman terhadap ekonomi, termasuk gangguan rantaian bekalan global dan paksaan ekonomi kita’.
Marcos menambah beliau akan mendorong ‘penglibatan ekonomi lebih besar’ antara kedua-dua negara dan dijangka bertemu para pemimpin perniagaan AS untuk mempromosikan perdagangan dan pelaburan. – AFP