MANILA, 23 JUN – Presiden Ferdinand Marcos Jr. kelmarin telah menyatakan, Filipina akan memperoleh peluang pekerjaan dan pelaburan baharu untuk rakyatnya selepas lawatan kerja ke Jepun.
Marcos berlepas ke Jepun pada Khamis bagi merasmikan Pavilion Filipina di Ekspo 2025 di Osaka, Jepun dan untuk bertemu dengan ahli perniagaan serta komuniti rakyat Filipina di sana. Beliau telah mendarat semula di Manila sekitar jam 6 petang, kelmarin.
Dalam satu kenyataan, Marcos menyatakan beliau berbangga melihat bagaimana Pavilion Filipina menonjolkan budaya Filipina yang ‘kaya dengan warisan, didorong oleh inovasi, dan komited ke arah masa depan yang mampan dan inklusif’.
Antara komitmen perniagaan utama yang berjaya diperoleh ialah kerjasama antara Kanadevia Corporation dan Phil. Ecology Systems Corp bagi projek ‘sisa kepada tenaga’ yang akan membantu menguruskan sisa buangan sambil menjana tenaga bersih.
Beliau turut menambah, Kumpulan Tsuneishi akan membina kapal pengangkut pukal jenis KAMSARMAX pertama di dunia yang menggunakan minyak dwi metanol di Cebu dan dijangka akan memberikan peluang pekerjaan serta mengangkat Filipina sebagai ‘peneraju dalam industri penghantaran hijau’.
Presiden Marcos juga berkata Filipina telah mengukuhkan kerjasama dengan pemimpin pelancongan Jepun bagi meningkatkan peluang untuk rakyat Filipina melalui peningkatan jumlah pelancong ke negara itu.
Selain itu, pertemuannya dengan Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) membuka peluang kerjasama dalam teknologi angkasa lepas bagi memperkukuh keselamatan komuniti, pemantauan bencana, dan menyokong para petani. – ANN/Philippine Daily Inquirer


