Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Marcus sertai Steelers

    Oleh James Kon –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Marcus Quirk yang pernah menghangatkan sukan bola keranjang Brunei dengan aksi yang menakjubkan dalam pelbagai kejohanan tempatan telah dipilih ke dalam draf pasukan bola keranjang Kaohsiung Steelers dan bersedia untuk bermain dalam Liga P Taiwan.

    Marcus merupakan pilihan draf ketiga tahun ini selepas bermain selama dua tahun di Universiti Nasional Formosa (NFU) Taiwan itu, telah menarik perhatian pasukan dalam liga hasil bimbingan agensi sukan Pegasus.

    Pemain berusia 24 tahun itu berkongsi keterujaannya untuk bermain dalam Liga P.

    “Sukar dipercayai. Draf itu merupakan cita-cita yang saya usahakan sejak beberapa tahun kebelakangan tetapi untuk mendengar nama saya dipanggil, apatah lagi untuk berada dalam tiga teratas, adalah sukar dipercayai. Steelers adalah pasukan yang saya kagumi dan sangat dihormati, untuk menjadi sebahagian daripada pasukan seperti itu adalah satu penghormatan,” katanya.

    Dia menambah, “Saya berasa bangga kerana dapat mewakili Brunei dalam apa cara sekalipun. Saya tahu komuniti bola keranjang Brunei adalah kecil tetapi ia membentuk saya dan menetapkan asas untuk kedudukan saya hari ini. Saya hanya berharap dapat membuat mereka dan semua keluarga serta rakan-rakan saya di Brunei bangga. Tambahan pula, saya mungkin yang pertama tetapi saya harap bukan yang terakhir.”

    Mengimbas kembali perkembangan bola keranjangnya di NFU, Marcus menekankan, “Berada dalam situasi dan persekitaran bola keranjang pertama sekali memberi saya peluang untuk menyesuaikan diri dengan permainan Taiwan. Antara perbezaan lain, ia lebih pantas berbanding tempat saya pernah bermain sebelum ini di Brunei, United Kingdom dan Amerika Syarikat.”

    Di NFU secara khusus, beliau berkata, “Kami amat bertuah kerana berpeluang bermain dalam perlawanan persahabatan menentang banyak pasukan profesional dalam Liga P+ dan liga profesional lain di Taiwan. Terdedah kepada tahap persaingan yang begitu tinggi sebelum saya mencapai tahap itu akan membantu mempercepatkan pertumbuhan saya.

    “Di NFU, saya bermain perlawanan persahabatan menentang ramai pemain NBA daripada yang saya boleh bayangkan dan berkongsi gelanggang dengan mereka adalah satu pengalaman yang hebat,” tambahnya.

    Marcus bergambar bersama dengan jersi pasukan bola keranjang Steelers selepas dipilih ke dalam draf untuk pasukan itu. – GAMBAR SERAHAN LIGA P
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda