LONDON, 21 APRIL – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca, tidak akan berada di tepi padang untuk perlawanan di tempat sendiri menentang Everton selepas digantung satu perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak England kerana menerima tiga kad kuning, lapor BBC hari ini.
Pengurus berusia 45 tahun dari Itali itu diberi kad kuning kerana meraikan gol menakjubkan Pedro Neto pada masa tambahan yang memberikan Chelsea kemenangan 2-1 ke atas Fulham pada Ahad.
Kemenangan itu membawa Chelsea ke tangga kelima dan terakhir dalam kedudukan Liga Juara-juara, mengatasi Nottingham Forest berdasarkan perbezaan gol. Forest boleh kembali mendahului jika mereka mengelak kekalahan menentang Tottenham hari ini.
Maresca, yang menerima dua kad kuning sebelum ini ketika menentang Newcastle dan Bournemouth, boleh kembali beraksi pada perlawanan berikutnya, juga di tempat sendiri, menentang pendahulu liga, Liverpool pada 4 Mei.
Pembantu pengurus dan bekas penjaga gol, Willy Caballero mungkin menggantikannya di kawasan jurulatih untuk perlawanan menentang Everton di Stamford Bridge pada Sabtu ini. – AFP
