LONDON, 16 DIS – Bos Chelsea, Enzo Maresca berkata kemenangan 2-1 pasukannya ke atas Brentford dengan penamat yang huru-hara menunjukkan mengapa mereka masih belum bersedia untuk bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana.
The Blues mengekori dua mata di belakang pendahulu Liverpool yang mempunyai kelebihan satu perlawanan, hasil kemenangan kelima berturut-turut dalam liga awal pagi tadi.
Marc Cucurella dan Nicolas Jackson menjaringkan gol untuk pasukan tuan rumah di Stamford Bridge sebelum gol pada minit ke-90 oleh Bryan Mbeumo mencetuskan perlawanan yang menggerunkan.
Cucurella dilayangkan kad merah pada masa kecederaan tetapi 10 pemain itu bertahan untuk kemenangan.
“Bagi saya tidak kira berapa banyak perlawanan yang kami menangi, ada perkara (menunjukkan) kami tidak bersedia untuk bersaing merebut gelaran pada masa ini. Pasukan yang tahu bagaimana untuk menang tidak akan melepaskan gol seperti itu,” kata Maresca, yang telah berulang kali menolak idea untuk mencabar gelaran.
“Peminat di luar sana boleh bermimpi. Tetapi kami di sini sebagai sebuah kelab, sebagai skuad, sebagai pemain, sebagai kakitangan kejurulatihan, kami perlu realistik.
“Saya berkata kami mempunyai banyak perkara yang perlu lakukan dengan lebih baik dan ini (kad merah) adalah salah satu daripadanya.”
Maresca kecewa dengan ketidakupayaan Chelsea untuk mematikan permainan lebih awal kerana mereka menguasai derby London barat untuk tempoh yang lama.
“Kami mengawal permainan kecuali pada 10 minit terakhir di mana kami bolos. Kami telah mencipta banyak peluang. Kami patut dapat lebih banyak gol. Kami berhak memenangi perlawanan itu,” tambah Maresca. – AFP