EAST RUTHERFORD, 15 JULAI – Jurulatih Chelsea, Enzo Maresca, menegaskan bahawa kejayaan memenangi Piala Dunia Kelab adalah sama pentingnya dengan menjuarai Liga Juara-Juara selepas pasukannya membenam Paris Saint-Germain 3-0 dalam perlawanan akhir edisi pertama kejohanan baharu anjuran FIFA pada Ahad.
“Saya merasakan bahawa kejohanan ini bakal menjadi sama penting, jika tidak lebih penting daripada Liga Juara-Juara,” kata Maresca selepas menambah trofi tersebut kepada kejuaraan Liga Persidangan UEFA yang dimenangi Chelsea pada Mei lalu.
Maresca, yang baru mengambil alih Chelsea setahun lalu, pernah menjadi sebahagian daripada pasukan kejurulatihan di bawah Pep Guardiola di Manchester City semasa mereka memenangi Liga Juara-Juara pada tahun 2023.
“Saya bertuah pernah berada dalam barisan kejurulatihan pasukan yang memenangi Liga Juara-Juara beberapa tahun lalu, tetapi kejohanan ini menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik dunia dan saya rasa ia wajar diberikan nilai yang setara,” ujar jurulatih dari Itali itu.
“Ia satu kejayaan besar buat kami dan ia membolehkan penyokong Chelsea berbangga kerana lambang kejohanan ini akan tertera di jersi kami untuk empat tahun akan datang.”

Maresca berkata dia telah mengarahkan para pemainnya untuk menyerang PSG sejak awal perlawanan – dan hasilnya, ketiga-tiga jaringan diperoleh dalam separuh masa pertama.
Cole Palmer menjaringkan dua gol manakala Joao Pedro turut mencetak nama di papan skor.
“Mesej saya jelas kami datang untuk menang, dan saya rasa dalam 10 minit pertama kami telah membuktikannya,” kata Maresca.
“Itulah yang menetapkan rentak perlawanan, dan kualiti para pemain turut memainkan peranan penting.”
Pemain antarabangsa England, Cole Palmer dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas menjaringkan dua gol dan mencipta satu bantuan gol untuk jaringan Joao Pedro.
Pemain berusia 23 tahun itu menepati statusnya sebagai bintang utama wajahnya terpampang di papan iklan sekitar New York bagi mempromosikan kejohanan, sebaris dengan nama besar seperti Kylian Mbappe dan Vinicius Junior dari Real Madrid.
“Menjaringkan gol memang satu perasaan yang luar biasa, lebih-lebih lagi dengan semangat juang tinggi yang ditampilkan pasukan – perancangan taktikal jurulatih benar-benar menjadi,” katanya. – AFP