Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maresca yakin Fofana ‘gembira’ di Chelsea

    LONDON, 22 OGOS – Bos Chelsea, Enzo Maresca menegaskan dia tidak mendengar apa-apa berita Wesley Fofana mahu tinggalkan Stamford Bridge selepas pemain pertahanan itu mengeluarkan gambar dirinya daripada kelab dalam akaun Instagram miliknya.

    Pemain antarabangsa Perancis berusia 24 tahun itu, pemain gantian yang tidak diturunkan semasa seri tanpa jaringan di laman sendiri menentang Crystal Palace Ahad lalu, pernah melakukan sesuatu yang serupa pada 2022, sejurus sebelum melengkapkan perpindahan £70 juta dari Leicester ke Chelsea.

    Sebaliknya Josh Acheampong yang diturunkan bersama Trevoh Chalobah menentang Palace.

    Maresca berkata selepas perlawanan dia tidak pernah merancang untuk menurunkan Fofana, dengan pemain pertahanan itu telah terlepas sebahagian besar perlawanan musim lalu selepas mengalami kecederaan hamstring pada Disember.

    Fofana, bagaimanapun, dijangka akan memainkan peranan apabila Chelsea menentang West Ham di Stadium London pagi esok.

    “Saya bercakap dengan Wes setiap hari. Dia sangat gembira, pertama sekali kerana dia kembali daripada kecederaan. Dia menyertai semua sesi bersama kami,” kata Maresca pada sidang media pra-perlawanan kelmarin.

    “Dia berada di bangku simpanan hanya untuk bersama kami tetapi dia boleh mendapatkan beberapa minit beraksi nanti. Kami gembira, dia gembira. Mengenai Instagram, saya tidak mempunyai sebarang idea kerana saya tidak menggunakan rangkaian sosial.”

    Fofana, yang hanya tampil 34 permainan kelab itu dalam tiga musim kerana kecederaan, kemudiannya dikecam dalam talian pada hari Rabu selepas memadam kaitan dengan Chelsea daripada Instagramnya.

    “Wes gembira, kami gembira, tiada apa yang perlu ditambah mengenainya. Jika ada kecaman di Instagram, ia tidak baik. Tidak baik untuk Wes dan juga mana-mana pemain atau manusia di dunia. Ia sesuatu yang malangnya kita tidak boleh kawal,” tambah Maresca.

    Maresca, yang sebelum ini enggan menurunkan Fofana selepas gagal dalam percubaan musim lalu semasa menentang Bournemouth, telah diberitahu oleh kelab bahawa dia mesti memenuhi keperluan skuad dengan barisan pemain yang sedia ada.

    “Kami telah guna Josh dalam perlawanan terakhir, kami cuba mencari beberapa penyelesaian lain, kita tunggu hasilnya nanti,” kata jurulatih Itali itu. – AFP

    Wesley Fofana dikatakan akan kekal bersama Chelsea. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda