Saturday, October 5, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mari berubah menjadi lebih baik

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Tahun Hijrah merupakan tarikh yang amat penting, kerana ia telah memahat sejarah agung perjuangan Nabi Muhammad SAW pada peringkat awal Islam dan hijrah juga menjadi lambang perubahan dan memberi makna yang cukup besar kepada pembangunan tamadun umat Islam.
     
    Khatib dalam khutbah Jumaat bertajuk Berubah dan Memperbaiki Diri turut menegaskan, sejarah tersebut tidak ada duanya dan hijrah itu berlaku atas perintah Allah SWT untuk menyelamatkan akidah umat Islam.
     
    “Kita akan meninggalkan tahun Hijrah 1445 dan akan memasuki tahun baharu 1446 Hijrah dan ini bererti hijrah Rasulullah SAW sudah melalui hampir 15 abad lamanya.”
     
    Tahun Hijrah yang setiap tahun disambut dan dirayakan, jelas khatib, perlu difahami dan dihayati agar dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya.
     
    “Hijrah bukan sahaja bererti berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain, tetapi ia bererti melakukan perubahan iaitu memperbaiki diri untuk berubah ke arah yang lebih baik,” katanya.
    Gambar Generic
    Walaupun kita tidak bersama Rasulullah SAW, para sahabat dan pengikut Baginda dalam peristiwa hijrah yang amat bersejarah itu, tambahnya, namun kita masih tetap boleh melakukan perubahan dalam kehidupan seharian.
     
    “Jadikan perubahan sebagai tuntutan dalam kehidupan disertai dengan pengorbanan niat yang ikhlas, rasa tanggungjawab dan semangat yang tinggi,” tambahnya.
     
    Khatib seterusnya menjelaskan, Baginda SAW telah memberikan suri teladan melalui pengajaran dengan melakukan pengorbanan jiwa, harta dan tanah air tercinta yang akhirnya berjaya merealisasikan kejayaan demi kejayaan.
     
    Ingatlah, jelas khatib, konsep hijrah itu adalah berterusan dan ia tidak akan berakhir sehingga hari kiamat.
     
    Selain itu, khatib turut mengingatkan, umat Islam perlu berusaha berhijrah meninggalkan segala perbuatan yang mendatangkan keburukan dan membawa kepada kegagalan hidup, lebih-lebih lagi perbuatan yang dilarang Allah SWT dan perlu berubah kepada kehidupan yang lebih baik dan lebih dekat kepada Allah SWT.
     
    “Terjemahkanlah peristiwa hijrah sebagai wadah memperbaiki diri menjadi Muslim yang taat kepada perintah Allah SWT dan bertanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara,” tekannya.
     
    “Orang yang sanggup bersusah payah melakukan perubahan kerana Allah akan mendapat kemuliaan dan darjat yang tinggi di sisi Allah SWT. Akan tetapi jika kita tidak sanggup melakukan perubahan, kejayaan yang diharapkan tidak akan tercapai dan kemajuan tidak akan terhasil. Inilah janji Allah sebagaimana yang dirakamkan di dalam Al-Quran,” jelasnya.
     
    Khatib turut mengingatkan bahawa Islam tidak menyuruh berdiam diri dan menunggu Allah SWT untuk mengubah keadaan hidup tanpa berusaha.
     
    Sempena tahun baharu 1446 Hijrah, khatib menyeru orang ramai untuk sama-sama meningkatkan usaha dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT, kerana inilah peluang bagi berubah dan memperbaiki diri ke arah mempertingkatkan amalan, keimanan dan ketakwaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda