Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mari hidupkan 10 malam terakhir Bulan Ramadan

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Sedarkah kita, keistimewaan bulan Ramadan dirasakan hanya seketika. Jangka waktu sebulan bukanlah masa yang lama.

    Pejam celik, tahu-tahu umat Islam akan berada di hujung bulan Ramadan.

    Buat apa dizahirkan rasa sedih bila Ramadan meninggalkan kita, jika tidak pernah kita cuba untuk menggapai nikmat Ramadan?

    Buat apa diluahkan penyesalan kerana tidak menikmati Ramadan sepenuhnya, jika langsung semangat tidak dikuatkan untuk menghidupkan malam-malam bulan Ramadan?

    Namun kasih sayang dan kecintaan Allah terhadap Rasulullah dan umat Baginda amatlah besar, sehinggakan di saat-saat akhir bulan Ramadan, umat Islam diberikan peluang menikmati ganjaran apabila menghidupkan malam-malam akhir bulan Ramadan.

    Bukan ganjaran biasa, bahkan ganjaran yang lebih baik dan istimewa dari malam-malam biasa!

    Itulah sepuluh malam terakhir bulan Ramadan – disebutkan tentang kelaziman Rasulullah menggandakan ibadah Baginda pada malam-malam tersebut – Disebutkan tentang terdapatnya satu malam yang istimewa daripada 1,000 bulan di antara sepuluh malam-malam tersebut, iaitulah malam Lailatulqadar.

    Kenapa perlu menghidupkan sepuluh hari terakhir itu?

    Hikmah yang terdapat dalam perkara-perkara yang dianjurkan oleh syara‘ kadangkala tidak tercapai oleh mata dan hati manusia.

    Begitu juga dengan anjuran syara‘ untuk menghidupkan 10 malam terakhir bulan Ramadan.

    Hanya Allah yang mengetahui keistimewaan yang tersirat dalam bulan Ramadan dan 10 malam terakhir dalam bulan itu.

    Namun umat Islam dituntut untuk menghidupkan malam-malam tersebut berdasarkan beberapa perkara berikut:

    Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh malam terakhir ini adalah memperbanyakkan Zikrullah. – Agensi

    1) Ittiba‘ (mencontohi perbuatan) Rasulullah

    Sepuluh malam terakhir bulan Ramadan merupakan antara waktu di mana Rasulullah meningkatkan ibadah Baginda lebih dari kebiasaannya.

    Diriwayatkan dari Ummul Mu’minin ‘Aisyah r.a., katanya yang maksudnya:
    “Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersungguh-sungguh (mengerjakan ibadat) pada sepuluh (malam) terakhir (bulan Ramadan) apa yang Baginda tidak kerjakan pada malam-malam yang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

    Rasulullah bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada 10 malam terakhir bulan Ramadan melebihi dari ibadah yang biasa Baginda lakukan pada malam-malam yang lain.

    Hadis di atas merupakan galakan untuk meningkatkan ibadah-ibadah semasa 10 malam terakhir bulan Ramadan dengan melakukan ibadat-ibadat.

    Banyak ibadat yang ditingkatkan oleh Rasulullah dalam menghidupkan malam-malam tersebut.

    Disebutkan bahawa Baginda memperbanyakkan i‘tikaf di masjid untuk beribadah kepada Allah, qiyam al-lail (menghidupkan malam) dengan sembahyang-sembahyang sunat, mengejutkan ahli keluarganya untuk sembahyang pada waktu malam, bersungguh-sungguh dalam ibadah dan meningkatkan ibadah lebih dari biasanya.

    Ini disebutkan dalam sebuah hadis daripada ‘Aisyah r.a. yang maksudnya:
    “Adalah Rasulullah apabila masuk sahaja sepuluh (malam terakhir bulan Ramadhan), Baginda mengencangkan kain Baginda (Syadda mi’zarah), Baginda menghidupkan malam itu (dengan melakukan ibadah) dan Baginda juga membangunkan keluarga Baginda.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Adapun maksud ‘Syadda mi’zarah’ itu adalah menjauhi isteri-isteri Baginda dan mempergiatkan ibadah-ibadah pada 10 malam terakhir.

    2) Terdapat ‘Lailatulqadar’ di antara malam-malamnya

    Antara sebab penekanan Rasulullah terhadap keutamaan 10 malam terakhir bulan Ramadan dan peningkatan ibadah Baginda pada malam-malam tersebut ada hubungkaitnya dengan ‘lailatulqadar’.

    Menurut jumhur ulama, ‘lailatulqadar’ itu berlaku di salah satu malam 10 terakhir bulan Ramadan dan besar kemungkinan ianya berlaku pada malam berangka ganjil di antara malam-malam yang 10 itu.

    Ini adalah berdasarkan daripada riwayat Abu Sa‘id al-Khudri r.a, Rasulullah bersabda yang maksudnya:

    “Hendaklah kamu cari ia (Lailatulqadar) itu pada sepuluh malam terakhir (bulan Ramadan) dan kamu cari ia pada tiap-tiap malam yang ganjil.” (Hadis riwayat Bukhari)

    ‘Lailatulqadar’ adalah suatu malam yang paling utama di antara malam-malam yang ada di bulan Ramadan, bahkan sepanjang tahun.

    Ia adalah malam yang penuh keberkatan dan mempunyai keistimewaan.

    Melakukan amal ibadat di malam tersebut adalah lebih baik ganjarannya daripada melakukan amal ibadat selama 1,000 bulan.

    Firman Allah yang tafsirnya:

    “Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr: 3)
    Dalam kitab Fath al-Bari Syarh Shahih al-Bukhari disebutkan bahawa lailatulqadar bermakna malam yang memiliki keagungan kerana al-Qur’an diturunkan pada malam itu atau kerana malaikat turun pada malam itu atau kerana turunnya berkat, rahmat dan keampunan pada malam itu atau kerana sesiapa yang menghidupkan malam itu (dengan ibadah) akan memiliki keuntungan.

    Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah bersabda yang maksudnya:

    “Barangsiapa mengerjakan ibadat di malam Lailatulqadar kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredhaanNya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Bagaimana menghidupkan 10 malam terakhir ini?

    Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan 10 malam terakhir ini adalah:
    1) I‘tikaf

    2) Memperbanyakkan dan mempertingkatkan sembahyang-sembahyang sunat seperti sembahyang sunat sebelum sunat qabliyyah dan ba’diyyah Maghrib, sembahyang sunat awwabin (dikerjakan selepas sembahyang Fardu Maghrib dan berakhir dengan masuknya waktu ‘Isya’ dan afdhal sembahyang ini dikerjakan segera setelah selesai sahaja dari mengerjakan zikir-zikir sembahyang fardhu Maghrib berserta Ba‘diyyahnya), sembahyang qabliyyah dan ba’diyyah Isya’, sembahyang terawih, sembahyang witir.
    Adapun waktu yang afdhal untuk mengerjakan sembahyang witir itu ialah di akhir malam selepas mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat yang lain seperti tahajjud, hajat dan sebagainya, sembahyang tahajjud dan sembahyang sunat tasbih.

    3) Memperbanyakkan membaca al-Qur’an.

    4) Memperbanyakkan Zikrullah contohnya:
    – Bertahmid iaitu: Alhamdulillah (Segala puji-pujian bagi Allah)
    – Bertakbir iaitu: Allahu Akhbar(Allah Maha Besar)
    – Bertasbih iaitu: Subhanallah (Maha Suci Allah)
    – Hawqalah iaitu: La Hawla Wala Quwwata Illa Billahi Aliyyil Azim (Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung)
    – Bertahlil iaitu: La Illaha Illallah (Tiada Tuhan Selain Allah).

    5) Memperbanyakkan istighfar kepada Allah kerana fadhilat istighfar ini amatlah banyak. Istighfar diertikan sebagai permohonan ampun kepada Allah atas dosa atau kesalahan yang dilakukan.

    6) Memperbanyakkan shalawat ke atas Rasulullah seperti ‘Allahumma Salli Ala Sayyidina Muhammad’.

    7) Memperbanyakkan doa kepada Allah berupa doa-doa warid dari al-Qur’an atau hadis Rasulullah.

    8) Memperbanyakkan sedekah, malahan amalan ini dianjurkan dari awal bulan Ramadhan.

    9) Menghadiri majlis-majlis ilmu.

    Peluang menikmati keistimewaan yang ada dalam bulan Ramadan hanya terbuka setahun sekali. Hendaknyalah kita berusaha untuk mengakhiri bulan Ramadan dengan sesuatu yang bermanfaat yang boleh menjana rasa ketakwaan kita kepada Allah. Sayang sekali, jika kita semakin lalai dan alpa dengan urusan du-nia pada saat-saat akhir bulan Ramadan itu. Bukankah kita ingin sentiasa mencontohi Rasulullah dalam semua akhlak dan perbuatan Baginda; menghidupkan sepuluh malam terakhir ini antara kelaziman Baginda, maka lakukanlah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda