ROM, 29 OKT – Penyerang veteran, Mario Balotelli telah kembali ke Itali dengan menyertai Genoa dalam perjanjian jangka pendek.
Penyertaan Balotelli disahkan oleh kelab Serie A itu kelmarin.
Balotelli yang memulakan kariernya di akademi belia Inter Milan telah bermain untuk beberapa kelab terkenal, termasuk Manchester City, AC Milan dan Liverpool dengan pengalaman terakhirnya di Serie A pada musim 2019-2020 bersama Brescia.
Digelar Super Mario, Balotelli tidak terikat dengan mana-mana kelab sejak kontraknya dengan kelab Liga Super Turkiye, Adana Demirspor tamat pada musim panas ini.
Ini membolehkan ejen bebas berusia 34 tahun itu menandatangani kontrak dengan Genoa pada bila-bila masa sepanjang musim.
Balotelli telah menandatangani perjanjian sehingga penghujung musim ini dan akan memakai jersi nombor 45 kegemarannya.
Genoa bergelut dengan masalah kecederaan musim ini dan kini menduduki tangga ke-18 selepas sembilan perlawanan. – Bernama