Anak perempuan kepada pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi iaitu Marissa Dania mendedahkan dirinya seorang introvert iaitu individu bersifat instropektif atau lebih gemar menyimpan sesuatu untuk diri sendiri.
Marissa, 19, berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemu bual dalam satu rakaman video produk kecantikan yang bertanyakan tentang personaliti dirinya.
“Saya seorang introvert,” jawabnya ringkas menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun TikTok @lovaacosmetics.hq.
Menerusi perkongsian video berkenaan, Marissa dilihat sedang ditatarias sebelum dipercayai terlibat dalam sebuah sesi fotografi.
Pun begitu, jawapan yang diberikan oleh Marissa menerima pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya memberikan komen sarkastik terhadapnya.
“Nampak saja lembut tapi bahaya. Diam-diam ubi berisi.
“Tak macam introvert pun,” tulis netizen.
Dalam pada itu, Marissa turut memberitahu sekiranya tidak bergelar pempengaruh media sosial, dia mungkin akan mengusahakan perniagaan disebabkan minat yang mendalam dalam bidang tersebut.
“Saya berminat dengan bisnes. Kalau saya tidak bergelar sebagai influencer mungkin saya akan menjalankan perniagaan,” ujarnya.
Pada 7 Februari lalu, nama Marissa menjadi bualan ramai apabila didakwa sudah bernikah dengan Ahmad Aslam iaitu suami kepada Misya Mazlan.
Marissa dan Aslam didakwa bernikah di Songkhla, Thailand ketika Misya mengerjakan umrah di Makkah pada 27 Disember tahun lalu.
Kisah mereka sudah mula diperkatakan pada September tahun lalu apabila Marissa didakwa sebagai orang ketiga sehingga menyebabkan Aslam dan Misya bercerai namun mereka kembali rujuk ketika masih dalam tempoh idah. – Agensi
