Thursday, February 13, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maritim Malaysia bakal terima kapal induk buatan Turkiye

    KUALA LUMPUR, 12 FEB – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal menerima sebuah kapal induk baharu buatan Turkiye yang dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2027.

    Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah memaklumkan perolehan kapal Mullti Purpose Mission Ship (MPMS) itu, merupakan langkah strategik bagi memperkukuh keupayaan pertahanan dan penguatkuasaan maritim negara.

    Beliau berkata perolehan kapal itu juga satu keputusan tepat kerajaan MADANI dalam menangani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

    “Bagi pembinaan kapal tersebut, syarikat Desan Shipyard dari Turkiye dipilih berdasarkan merit, selain kepakaran dan keupayaan syarikat berkenaan dalam industri pertahanan negara itu yang diiktiraf di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Rosli menghadiri Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia yang diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman, dengan pihak Turkiye diwakili Pengerusi Lembaga Desan Shipyard, Cenk Ismail Kaptanoglu di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam.

    Gambar Bernama

    Majlis MoU berkenaan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

    Mohd Rosli berkata perolehan kapal itu menandakan satu lonjakan besar dalam keupayaan operasi Maritim Malaysia dan bakal menjadi aset penting dalam mengawal perairan negara.

    “Dilengkapi spesifikasi canggih, MPMS mampu beroperasi selama 30 hari tanpa henti, selain lengkap dengan aset moden iaitu empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV) serta mempunyai, deck pendaratan helikopter, fasiliti perubatan dan pusat tahanan.

    “Kapal berukuran 99 meter panjang yang boleh membawa 70 kru dan 30 penumpang ini, akan memberi tumpuan kepada pengawasan di Laut China Selatan khususnya dalam menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti penangkapan ikan haram serta membanteras jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda