Maritim tahan 27 nelayan Vietnam

KUALA TERENGGANU, 2 JULAI – Pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu telah menahan dua buah bot bersama 27 nelayan warga Vietnam yang menceroboh kawasan perairan negara untuk menangkap ikan, kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kedua-dua bot itu ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Langkawi yang sedang melakukan rondaan Ops Iman di kedudukan 134.6 batu nautika dari Kuala Terengganu. kira-kira pukul 8 malam.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kesemua awak-awak termasuk tekong berusia antara 18 hingga 53 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah, dan mereka dipercayai berada di kawasan perairan negara Malaysia lebih dua minggu, melakukan aktiviti pemindahan hasil tangkapan kepada kapal induk.

“Selain itu, kapal induk berkenaan turut membekalkan minyak dan bekalan makanan kepada bot nelayan asing ini untuk terus berada di perairan negara Malaysia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu di sini hari ini.

“Ketika tangkapan dilakukan kami percaya mereka sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda ganding, dan mereka bertindak memotong pukat itu sebelum cuba melarikan diri ke sempadan, namun tindakan mereka berjaya digagalkan oleh anggota kita,” tambahnya.

Muhammad Suffi berkata turut dirampas ialah dua tan ikan baja, satu tan ikan campur, 60 kilogram sotong, 6,000 liter diesel, bot

dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai hampir RM2 juta, dan bot itu kemudiannya dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas semua nelayan asing berkenaan.

Sementara itu menurut Muhammad Suffi pihaknya telah menjalankan satu operasi menyelamat 13 pemancing tempatan termasuk tekong, selepas bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan ‘propeller’ pada jarak 130 batu nautika daripada Kuala Terengganu, semalam.

“Kesemua mereka yang berusia antara 30 hingga 56 tahun dikatakan telah berada di laut selama tiga hari sebelum bot mereka mengalami kerosakan dua hari lepas. Semalam ketika operasi menyelamat dilakukan, bot itu berada pada jarak 0.5 batu nautika dari pelantar minyak Tapis R, Terengganu. Mereka bersauh di kawasan pelantar itu bagi mendapatkan pertolongan.

“Bot itu kemudiannya ditunda dengan menggunakan sebuah bot nelayan asing Vietnam yang telah ditahan sebelumnya oleh KM Langkawi, ke Jeti Maritim Negeri Terengganu, dan ia selamat tiba kira-kira pukul 1.00 pagi tadi,” katanya. – Bernama