Mark Adam pelajari hikmah PKP

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung selama beberapa fasa sejak tahun lalu memberi kesan mendalam kepada seluruh masyarakat.

Namun begitu, dalam pahit yang kita rasakan ketika ini nampaknya masih juga ada hikmah dan kemanisan daripada PKP itu.

Bagi penyanyi, Mark Adam, PKP membuka ruang untuknya belajar dan mendalami ilmu agama sekali gus membetulkan kekurangannya dalam pengajian Al-Quran.

“Alhamdulillah, syukur sejak tahun lalu saya sudah belajar mengaji secara atas talian dengan seorang guru agama. Alhamdulillah, setakat ini, dia maklumkan ada peningkatan dalam pengajian saya,” katanya.

Dalam temu bual bersama penyanyi yang juga mualaf itu, dia bersyukur kerana banyak ilmu baharu dapat ditimba dan diperolehnya untuk ke arah menjadi muslim sejati.

Mark Adam, PKP membuka ruang untuknya belajar dan mendalami ilmu agama serta pengajian Al-Quran. – Agensi

“Sebelum ini, saya ada juga belajar mengaji. Cuma, pada masa sekarang apabila dah ada banyak masa di rumah, saya gunakan waktu di hujung minggu untuk membetulkan beberapa perkara berkaitan Al-Quran.

“Antaranya, cara sebutan saya serta hukum-hukum tajwid dalam pembacaan Al-Quran. Alhamdulillah, saya bersyukur bila dimaklumkan ada peningkatan,” katanya.

Selain mendalami ilmu agama dan belajar mengaji, Mark juga menggunakan masa yang ada untuk menghasilkan lagu-lagu baharu.

“Setakat ini, ada lebih kurang 10 lagu yang sudah saya siapkan. Ada satu lagu baharu yang saya dapat ilhamnya selepas pemergian sahabat kami, Siti Sarah.

“Saya pun tak pasti bila akan siap. Tapi, rancangannya saya akan berikan lagu itu kepada Shuib. Sama ada dia nak simpan atau terbitkan, itu terpulang kepada dia,” katanya. – Agensi