Friday, April 18, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mark Milligan tinggalkan Harimau Malaya

    KUALA LUMPUR, 10 APRIL – Ketua jurulatih pasukan Harimau Malaya, Peter Cklamovski hari ini mengesahkan penolongnya Mark Milligan tidak lagi bersama pasukan kebangsaan.

    Cklamovski memaklumkan perkara itu menerusi hantaran di media sosial rasmi Harimau Malaya dan turut berterima kasih kepada jurulatih kelahiran Australia itu atas sumbangannya kepada pasukan bola sepak Malaysia.

    “Sungguhpun tempohnya singkat, beliau membantu langkah pertama bagi tempoh penting untuk persiapan aksi Malaysia menentang Nepal.

    “Kami memahami dan menyokong keputusannya untuk mencari peluang di luar negara. Kami mengucapkan segala yang terbaik dalam usaha beliau pada masa hadapan,” katanya.

    Milligan, 39, yang merupakan bekas pemain kebangsaan Australia, menyertai revolusi skuad kebangsaan sebagai penolong ketua jurulatih pada Februari lepas.

    Sementara itu, Milligan juga menerusi hantaran di media sosial Harimau Malaya berkata peluang menjadi sebahagian daripada pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia banyak mengajarnya.

    “Pengalaman dan tahap profesionalisme di peringkat elit ini adalah sesuatu yang saya harap dan impikan dalam perjalanan saya ke hadapan,” katanya.

    Milligan mengucapkan selamat maju jaya kepada semua warga Harimau Malaya dan penyokong pasukan bola sepak negara dalam usaha kelayakan Piala Asia 2027.

    “Terus membangunkan pertumbuhan dan asas yang kukuh untuk memastikan bola sepak Malaysia terus berkembang,” katanya. – Bernama

    Mark Milligan tidak lagi bersama pasukan kebangsaan Malaysia, menurut Peter Cklamovski. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda