Tuesday, October 1, 2024
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Marotta dipilih presiden baharu Inter

    MILAN, 4 JUN – Ketua Pegawai Eksekutif sukan Inter Milan, Giuseppe Marotta dilantik sebagai presiden baharu juara Serie A hari ini selepas pengambilalihan terkini oleh pemilik baharu dari Amerika Syarikat, Oaktree.

    Marotta, yang dianggap sebagai arkitek bagi pencapaian Inter baru-baru ini ke carta teratas bola sepak, telah menggantikan bekas presiden Steven Zhang selepas mesyuarat pemegang saham di Milan di mana lembaga baharu turut dilantik.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Oaktree atas kepercayaan yang mereka tunjukkan dalam memberikan saya peluang untuk bekerjasama dengan mereka dan lembaga pengarah,” kata Marotta dalam satu kenyataan.

    Oaktree mengambil alih Inter bulan lalu, beberapa hari selepas kelab itu secara rasmi dinobatkan sebagai juara Itali buat kali ke-20, apabila pemilik terdahulu, Suning gagal membayar balik pinjaman tiga tahun yang telah matang pada AS$428 juta.

    Dana pelaburan AS itu melantik enam orangnya ke lembaga pengarah Inter bersama Marotta, yang mengekalkan peranan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sukan yang mana beliau telah dilantik oleh konglomerat China, Suning dan Zhang pada tahun 2018.

    CEO Korporat, Alessandro Antonello telah mengekalkan kedudukannya dalam lembaga pengarah bersama dua lagi ‘pengarah bebas’ yang dikekalkan dari era Suning.

    Sejak ketibaan Marotta, Inter telah memenangi dua kejuaraan Serie A, dua Piala Itali, tiga Piala Super Itali dan mara ke final Liga Juara-juara dan Liga Europa.

    Individu berusia 67 tahun itu sebelum ini merupakan CEO di Juventus selama lapan tahun yang penuh dengan kejayaan. – AFP

    Marotta keluar dari Palazzo Parigi selepas dilantik sebagai presiden Inter Milan, di Milan, Itali, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda