SHANGHAI, 22 MAC – Marouane Fellaini telah disahkan positif COVID-19, kelabnya, Shandong Luneng mengumumkan hari ini, bekas pemain Manchester United itu menjadi kes pertama dalam Liga Super China (CSL).
Pemain tengah antarabangsa Belgium yang berusia 32 tahun itu mempunyai suhu normal dan dalam keadaan sihat, kata Shandong, tetapi sedang menjalani rawatan di puast perubatan yang ditetapkan.
“Kelab akan melakukan yang terbaik untuk membantu dalam rawatan dan pemulihan pemain.”
Fellaini pemain yang berprofil tinggi terbaharu yang dijangkiti penyakit itu, menyertai pemain Juve seperti Paulo Dybala, pemain sayap Chelsea, Callum Hudson-Odoi dan pengurus Arsenal, Mikel Arteta.
Tetapi dia adalah kes pertama yang disahkan di CSL, berkemungkinan harapan liga untuk memulakan musim seawal bulan depan terancam.
Kempen itu sepatutnya bermula pada bulan lepas tetapi telah ditangguhkan akibat wabak itu.
Fellaini, yang juga bekas pemain Everton, menyertai Shandong Luneng dari kelab gergasi liga Inggeris, United pada Februari tahun lalu dengan perpindahan bernilai 7.2 juta euro.
Persatuan Bola Sepak China berkata, pemain terkenal negara itu, Wu Lei, juga telah diuji positif virus itu. Wu, yang menyertai liga Sepanyol, Espanyol, dikuarantin di rumahnya di Barcelona dan hanya mempunyai simptom gejala ringan sahaja.
COVID-19 mula merebak dari tengah bandar Wuhan pada bulan Disember dan sejak itu semakin menular ke seluruh dunia dan menjadi pandemik, telah membunuh 13,000 orang dan menjangkiti lebih daripada 300,000 orang. – AFP
