ROM, 14 OKT – Marc Marquez telah berjaya menjalani pembedahan pada bahu kanannya susulan kemalangan juara dunia itu di MotoGP Indonesia, menurut pasukannya, Ducati kelmarin.
Pelumba Sepanyol itu, yang merangkul gelaran ketujuhnya di Jepun bulan lalu, mengalami patah tulang dan kecederaan ligamen dalam kemalangan di Lombok minggu berikutnya.
“Marc Marquez telah berjaya
menjalani pembedahan di Hospital Ruber Internacional, Madrid, Sepanyol,” kata Ducati.
Tambahnya, “Pasukan perubatan yang memeriksanya tujuh hari sebelumnya mendapati patah korakoid dan kerosakan ligamen belum menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang mencukupi selepas seminggu diimobilisasi.
“Memandangkan risiko ketidakstabilan masih ada, pasukan perubatan telah memutuskan untuk melakukan pembedahan bagi menstabilkan bahu serta membaiki ligamen akromioklavikular.”
Pasukan Itali itu menambah, Marc Marquez ‘akan meneruskan proses pemulihannya, dan tahap kemajuannya akan menentukan bila dia dapat kembali bertanding’.
Marquez pada asalnya disahkan tidak akan menyertai MotoGP Australia dan Malaysia bulan ini, dengan perlumbaan Portugal dan Valencia menamatkan musim pada November.
Pelumba berusia 32 tahun itu mempunyai sejarah panjang kecederaan, termasuk patah lengan kanan pada awal musim 2020, kecederaan yang hampir memaksanya bersara.
Di samping itu, pelumba uji, Michele Pirro, akan menggantikan Marquez di MotoGP Australia hujung minggu ini. – AFP


