Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Marquez berpeluang julang kejuaraan dunia ketujuh di Jepun

    MOTEGI, JEPUN, 24 SEPT – Marc Marquez berpeluang menamatkan penantian untuk meraih kejuaraan dunia ketujuh MotoGP hujung minggu ini di Jepun sekali gus mengesahkan musim penuh dominasi serta menyamai rekod legenda motosikal, Valentino Rossi.

    Pelumba Sepanyol yang mewakili Ducati itu kini mengumpul 512 mata dan hanya memerlukan tiga mata lebih daripada adiknya, Alex Marquez, untuk mengesahkan gelaran dengan baki lima pusingan daripada keseluruhan 22 perlumbaan musim ini.

    Menjuarai gelaran pertama sejak 2019 di Motegi bakal melengkapkan kebangkitan Marquez selepas berdepan episod kecederaan parah apabila patah tangan kanan pada 2020.

    Pemain berusia 32 tahun itu berada dalam prestasi luar biasa musim ini dengan jumlah mata yang dicatat sudah pun menjadi rekod baharu bagi seorang pelumba MotoGP dalam satu musim.

    Kali terakhir dia menang di Grand Prix (GP) Jepun adalah pada 2019, namun keunggulannya terserlah apabila kemenangan di San Marino dua minggu lalu merupakan yang ke-11 daripada 16 perlumbaan musim ini, selain menjuarai 14 daripada 16 aksi pecut.

    Marc Marquez meraikan kejayaan di atas podium selepas memenangi Grand Prix San Marino pada 14 September. – Reuters

    “Kami akan mendekati perlumbaan di Motegi dengan cara yang sama, mengekalkan tahap prestasi seperti yang ditunjukkan sepanjang perlumbaan sebelum ini,” kata Marquez.

    “Masih berbaki enam perlumbaan musim ini tetapi kami mahu menamatkan saingan kejuaraan secepat mungkin.”

    Marquez bagaimanapun melakukan kesilapan jarang berlaku di San Marino apabila terjatuh ketika mendahului saingan pecut. Namun, dia segera bangkit dalam GP keesokan harinya dengan memintas pelumba petak utama, Marco Bezzecchi, pada pusingan ke-12 sebelum menamatkan saingan dengan tenang.

    Kemenangan itu merupakan yang ke-99 sepanjang kariernya merangkumi MotoGP, Moto2 dan Moto3. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda