Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Marquez layak ke MotoGP Sepanyol

    JEREZ DE LA FRONTERA, 2 MEI – Juara dunia enam kali, Marc Marquez layak menyertai MotoGP Sepanyol kelmarin, meskipun mengalami kemalangan pada waktu pagi semasa sesi latihan sementara Fabio Quartararo merangkul kedudukan hadapan keempat berturut-turut di Jerez.

    Marquez mengalami kemalangan dalam sesi latihan ketiga di litar yang sama dia mengalami kecederaan patah tulang tangan kanan tahun lalu dalam perlumbaan pembukaan pada penghujung kempen 2020.

    Selepas pemeriksaan perubatan, pasukan Honda memaklumkan dalam Twitter bahawa pelumba berusia 28 tahun dari Sepanyol akan meneruskan perlumbaan.

    “Selepas pemeriksaan, marcmarquez93 telah disahkan cergas untuk pagi perlumbaan di GP Sepanyol,” menurut pasukan Honda.

    Marquez terpaksa menyertai sesi kelayakan pertama dan hanya berjaya mencatatkan masa keempat terpantas, terlepas peluang untuk mara ke sisi kedua 12 pemandu dan bertarung merebut tempat di kedudukan hadapan semasa perlumbaan.

    Aksi Marc Marquez semasa perlumbaan Grand Prix Sepanyol di Jerez de la Frontera. – AFP

    Pendahulu kejuaraan, Quartararo mendominasi masa sepanjang hujung minggu bersama Yamaha, tetapi terpaksa berusaha keras dalam kelayakan akhir dengan penunggang satelit Yamaha, Franco Morbidelli, ketinggalan hanya 0.057 saat, dan Jack Miller, 0.105 lebih perlahan bersama Ducati.

    Pelumba Perancis merekodkan masa terpantas musim lalu, 1 minit 36.755 saat ketika tamat kelayakan.

    “Terasa sangat bagus,” kata Quartararo. “Ini adalah satu kelayakan di mana saya berada di tahap batasan. Saya merasakan saya nyaris mengalami kemalangan.”

    Quartararo merampas petak pertama di Jerez pada 2019 dan sekali lagi dalam kedua-dua perlumbaan pada litar yang sama musim lalu. Dia mengikut jejak menduduki petak hadapan pada musim pembukaan MotoGP Sepanyol 2020 dengan kemenangan pertama.

    Morbidelli mencatatkan tiga pusingan digugurkan oleh pengendali perlumbaan sepanjang hujung minggu, termasuk satu insiden yang akan meletakkan dia secara langsung ke sesi kelayakan kedua. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda