BRNO, 4 OGOS – Penunggang jentera Honda dari Sepanyol Marc Marquez yang juga juara dunia lima kali dan pendahulu semasa kejuaraan, akan memulakan Grand Prix Moto Czech di Brno di petak utama selepas memenangi sesi kelayakan malam ini.
Ia petak utama keenam musim ini buat Marquez, yang berakhir 2.524 saat di depan pelumba Australia, Jack Miller (Ducati) dengan penunggang KTM, Johann Zarco di tangga ketiga bagi perlumbaan malam esok.
Dalam cuaca sukar pada hujung sesi kedua, Marquez mengambil keputusan berani untuk menukar tayar bagi menangani keadaan litar basah. “Saya mengambil risiko, sekalipun jika pasukan saya tidak gembira mengenainya,” katanya kepada saluran TV Perancis, Canal+.
Zarco dari Perancis, yang menghuni tangga ke-17 dalam kedudukan keseluruhan, meraih keputusan 10 terbaik pertama musim ini.
Marquez merangkul lima kemenangan daripada sembilan perlumbaan setakat ini dan unggul 58 mata di depan pelumba Itali, Andrea Dovizioso, yang menang di Brno musim lalu.
Pelumba berusia 26 tahun itu meraih dua kemenangan di litar Czech itu pada 2013 dan 2017. Tahun lalu dia di tangga ketiga di belakang Dovizioso (Ducati) dan Jorge Lorenzo, yang kini menjadi rakan sepasukannya di Honda. – AFP
