Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Marquez terjatuh, Aldeguer juara MotoGP Indonesia

    LOMBOK, 5 OKT – Juara dunia baharu, Marc Marquez dan pemegang petak utama Marco Bezzecchi terjatuh pada pusingan pertama apabila pelumba rookie Sepanyol, Fermin Aldeguer, menjuarai MotoGP Indonesia hari ini.
     
    Pelumba Ducati-Gresini, Aldeguer, 20 tahun, meninggalkan pelumba lain selepas Marquez dan Bezzecchi bertembung, lalu menamatkan perlumbaan tersebut.
     
    Beliau menamatkan perlumbaan lebih enam saat di hadapan Pedro Acosta dari KTM di tempat kedua dan hampir lapan saat mengatasi rakan sepasukan Alex Marquez di tempat ketiga.
     
    Bezzecchi menguasai sesi kelayakan kelmarin, dengan rekod pusingan di litar Mandalika, namun permulaannya hari ini di tengah cuaca lembap di Pulau Lombok gagal apabila tergelincir dari petak utama ke tangga ketujuh di belakang Marquez. 
     
    Beliau cuba memotong juara Sepanyol Ducati itu tetapi melanggar belakang motosikal Marquez, menyebabkan kedua-dua pelumba tergelincir akibat batu kelikir. 
     
    Fermin Aldeguer, meraikan kemenangannya di podium Grand Prix MotoGP Indonesia di Litar Antarabangsa Mandalika, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada 5 Oktober. – AFP
    Kedua-duanya terselamat dari kemalangan tersebut, dengan Marquez dilihat memegang bahu kanannya.
     
    Marquez telah dinobatkan sebagai juara MotoGP minggu lalu di Motegi, Jepun dan telah mencatat rekod mata dalam satu musim sebanyak 545 mata sebelum mengikuti perlumbaan pada hari ini.
     
    Jumlah mata beliau dipertingkatkan lagi dengan kedudukan keenam dalam perlumbaan pecut selepas Luca Marini dikenakan penalti tekanan tayar selepas perlumbaan.
     
    Meskipun Aldeguer menjuarai perlumbaan hari ini, namun perlumbaan itu menyaksikan pertarungan dramatik bagi tempat podium antara enam pelumba. 
     
    Yamaha Alex Rins mula merosot dan hilang peluang podium, manakala Alex Marquez meningkat ke tangga ketiga sekaligus mengukuhkan kedudukannya di tangga kedua keseluruhan di belakang abangnya, Marc.
     
    Hanya 19 pelumba yang memulakan perlumbaan hari ini, selepas Maverick Vinales menarik diri kerana kecederaan bahu yang berterusan. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda