Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Marquez ungguli latihan MotoGP Thailand

    BURIRAM, 25 OKT – Marc Marquez mencatat masa terpantas pada sesi latihan MotoGP Thailand hari ini dengan rekod sepusingan baharu, sementara pesaing kejuaraan, Jorge Martin di tempat kedua dan Francesco Bagnaia di tempat keempat.

    Juara dunia enam kali dari Sepanyol itu mencatat masa 1 minit 29.165 saat (s) bersama jentera Ducati di Litar Buriram yang panas terik.

    Marquez dari Gresini, yang sudah dua kali menjuarai perlumbaan di Buriram dan memenangi Grand Prix Australia minggu lalu, mencatat masa 0.110s lebih pantas daripada Martin dari Ducati Pramac.

    “Saya gembira kerana memulakan hujung minggu dengan prestasi sebegini adalah sa-ngat penting,” kata Marquez, 31, yang masih dalam persaingan merebut gelaran dengan baki tiga hujung minggu perlumbaan.

    Di tempat ketiga adalah Enea Bastianini, manakala juara dunia dua kali berturut-turut dari Itali, Bagnaia, berada di tempat keempat, juga dengan jentera Ducati.

    Aksi Marquez pada sesi latihan di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand, kelmarin. – AFP

    Pelumba Sepanyol, Martin, kini hanya mempunyai kelebihan 20 mata di hadapan Bagnaia dalam merebut gelaran juara dunia. Marquez berada di kedudukan ketiga, namun ketinggalan 79 mata di belakang Martin.

    Dengan gabungan perlumbaan pecut dan perlumbaan utama di Buriram, sebanyak 37 mata maksimum boleh direbut hujung minggu ini.

    “Pada permulaan musim, saya sering bergelut setiap hari Jumaat dan banyak ruang penambahbaikan diperlukan sepanjang hujung minggu,” kata Marquez.

    “Namun kini, saya sudah berada pada rentak yang baik. Esok, sukar untuk menambah baik masa lap ini – ia sudah menjadi rekod litar,” tambahnya.

    Melengkapkan kedudukan 10 terbaik dalam latihan sebelah petang ialah Maverick Vinales, Franco Morbidelli, Pedro Acosta, Alex Marquez, Marco Bezzecchi, dan Johann Zarco.

    Kesemua mereka terus layak ke pusingan kelayakan kedua esok yang menentukan empat barisan pertama grid untuk perlumbaan pecut esok dan perlumbaan utama pada Ahad. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda