BRNO, 21 JULAI – Marc Marquez memenangi perlumbaan MotoGP Republik Czech kelmarin, menjadikannya kemenangan kelapan daripada 12 perlumbaan musim ini dan yang kelima berturut-turut, sekali gus mengukuhkan kedudukan pendahulu dalam kejuaraan dunia.
Pelumba pasukan Ducati itu menewaskan Marco Bezzecchi yang menunggang jentera Aprilia dengan kelebihan hampir dua saat, manakala Pedro Acosta di tempat ketiga menaiki podium buat kali pertama musim ini bersama KTM.
Marquez mencatatkan hujung minggu yang sempurna buat kali kelima berturut-turut apabila turut memenangi perlumbaan sprint pada Sabtu lalu.
Pelumba Sepanyol berusia 32 tahun itu kini mendahului kejuaraan dunia dengan kutipan 381 mata, 120 mata di hadapan adiknya, Alex Marquez, yang terlibat dalam kemalangan, dan 168 mata di depan rakan sepasukannya di Ducati, Francesco Bagnaia.
“Ia adalah separuh musim pertama yang sangat hebat, terutama beberapa perlumbaan terakhir ini,” kata Marquez.

“Saya semakin rasa selesa dan menunggang dengan amat baik,” tambahnya.
Bagnaia bermula dari petak utama dalam cuaca baik tetapi hanya mengekalkan kedudukan pendahulu sehingga pusingan kedua apabila Bezzecchi memintas, diikuti oleh Marquez.
Acosta turut memintas Bagnaia dan mengukuhkan kedudukan di tempat ketiga, selepas meraih tempat kedua dalam perlumbaan sprint.
Marquez memotong Bezzecchi pada pusingan kelapan ketika trio pendahulu terus menjauhkan diri dari pelumba lain, dan seperti biasa musim ini, mereka mengekalkan jurang dengan selesa.
Kedudukan tiga pelumba teratas kekal hingga ke garisan penamat, meskipun Bagnaia yang berada di tempat keempat memberikan tekanan hebat kepada Acosta dari belakang.
“Pusingan pertama sangat luar biasa,” kata Bezzecchi.
“Saya sangat seronok dalam separuh pertama perlumbaan tetapi malangnya apabila Marc memintas, saya tahu dia mempunyai kelebihan.
“Saya cuba memecut semula tetapi dia terlalu kuat. Apa pun, saya rasa saya telah beri persembahan terbaik. Saya sangat, sangat gembira,” tambah pelumba Itali itu. – AFP

