Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mars mahu ambil alih Pringles

    BRUSSELS, 26 JUN – Suruhanjaya Eropah menyuarakan kebimbangan terhadap rancangan Mars untuk mengambil alih Kellanova, pengeluar snek terkenal Pringles, lapor agensi berita Jerman, dpa.

    Suruhanjaya itu berkata siasatan telah dilancarkan terhadap perjanjian yang diumumkan pada Ogos lalu, susulan kebimbangan pengambilalihan akan memberi Mars kelebihan dalam rundingan harga dengan peruncit di seluruh Kesatuan Eropah (EU).

    Mars terkenal dengan produk seperti coklat M&Ms, Snickers, Bounty, jenama gula-gula getah seperti Airwaves dan Wrigley’s Extra, serta makanan haiwan dan barangan dapur. Syarikat itu menggaji lebih 150,000 orang di seluruh dunia.

    Kellanova yang berpangkalan di Chicago pula dikenali melalui jenama Pringles dan bijirin sarapan Kellogg’s. Syarikat itu beroperasi di 180 negara dan mempunyai kira-kira 23,000 pekerja.

    Penemuan awal Suruhanjaya mendapati pengambilalihan ini berpotensi mengukuhkan lagi kedudukan pasaran Mars dengan menambah jenama popular Kellanova ke dalam portfolionya.

    Menurut Suruhanjaya, penguasaan lebih besar boleh membolehkan Mars merundingkan terma bekalan dengan lebih agresif, sekali gus mendorong kenaikan harga snek kepada pengguna.

    “Dengan mengambil alih Kellanova, Mars akan memperoleh beberapa jenama kerepek kentang dan bijirin yang sangat popular, menambah kepada portfolio produknya yang sedia kukuh dan meluas,” kata Pesuruhjaya Dasar Persaingan EU Teresa Ribera dalam satu kenyataan. – Bernama

    Kerepek kentang Pringles dirakam di tapak pengeluaran Mechelen pada 3 Mei 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda